Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kaunter Maybank akan dibuka di Kuala Besut
Diterbitkan:  Jul 22, 2013 10:34 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Sebuah kaunter Maybank akan beroperasi di Pejabat Pos Kuala Besut di Kuala Besut tidak lama lagi bagi memudahkan penduduk setempat melakukan urusan perbankan tanpa perlu ke pekan Jerteh.

Mengumumkan perkara itu ketika melawat Pejabat Pos Kuala Besut hari ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pembukaan kaunter bank komersil itu telah mendapat kelulusan Bank Negara, Maybank dan Pos Malaysia.

"Kaunter ini dijangka siap paling lewat dua bulan dari sekarang kerana saya lihat perkhidmatan kewangan amat diperlukan dalam kawasan ini.

"Diharapkan selepas ini segala kemudahan untuk simpanan, pengeluaran serta urusan lain akan dapat memudahkan penduduk sini daripada mereka perlu pergi ke Jerteh untuk urusan perbankan," katanya.

Beliau berkata sebuah mesin ATM akan turut ditempatkan di premis pejabat pos itu.

"Saya rasa Kuala Besut tidak lama lagi akan mempunyai bank komersil. Kita akan mulakan di dalam pejabat pos ini dulu kerana kawasan ini mempunyai potensi dan tumpuan pelancong," katanya.

Ketika ini hanya terdapat dua bank di pekan Kuala Besut iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agro Bank.

Jarak antara Pekan Kuala Besut dan Bandar Jerteh dianggarkan 20 kilometer.

Ahmad kemudian meneruskan lawatannya ke BSN cawangan Kuala Besut dan mengunjungi bazar Ramadan di Tapak Pasar Tani Kuala Besut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS