AS kekal bantuan pada Mesir, dengan syarat
Panel senat Amerika Syarikat (AS) yang bertanggungjawab terhadap cadangan bantuan asing pada Selasa mencadangkan, dana yang dihantar ke Mesir kekal pada kadar semasa, tetapi bantuan ketenteraan akan dibahagi kepada empat bahagian dan syarat yang ditetapkan, termasuk kerajaan harus mengadakan pilihan raya secara demokratik.
Jawatankuasa kecil berhubung peruntukan operasi asing dan dalam negara meluluskan AS$1.3 bilion dalam bentuk bantuan ketenteraan kepada Mesir dan AS$250 juta untuk bantuan ekonomi yang diminta Presiden Barack Obama untuk fiskal 2014, yang akan bermula pada 1 Oktober, sama dengan jumlah tahun ini, walaupun sedang berlaku pergolakan di negara umat Arab teramai itu.
Washington sedang menghadapi kerumitan bagaimana mahu menguruskan AS$1.55 bilion yang dihantar ke Mesir setiap tahun sejak rampasan kuasa tentera terhadap presiden Islamis yang dipilih rakyat awal bulan ini.
Undang-undang AS melarang bantuan diberikan kepada negara yang mengalami rampasan kuasa, tetapi ramai pegawai dalam pentadbiran negara itu mahu mengekalkan hubungan dengan tentera Mesir dan enggan mengambil risiko ke arah berterusan pergolakan di negara sekutu penting mereka di rantau itu.
"Kami tidak mahu sebuah negara gagal di Mesir atau negara Islamik radikal dan kami fikir boleh mengelak kedua-duanya dengan terus mendekati tentera dan rakyat Mesir, tetapi dengan terma kita, bukan mereka," kata Senator Republikan Lindsey Graham.
Senat merancang membahagikan bantuan kepada empat blok.
Satu per empat daripada bantuan ketenteraan mahu dihantar segera, tetapi tranche seterusnya berdasarkan syarat bahawa Kaherah menyokong proses politik "inklusif" dan membebaskan tahanan politik.
Bantuan selebihnya berdasarkan pilihan raya demokratik yang akan berlangsung dan kerajaan baru mengambil langkah melindungi hak wanita dan golongan minoriti agama.
Jumlah keseluruhan rang undang-undang perbelanjaan untuk Jabatan Negara dan operasi asing diluluskan jawatankuasa kecil senat sebanyak AS$50.6 bilion - AS$2.7 bilion bawah paras tahun ini, dan AS$1.1 bilion bawah permintaan belanjawan Obama.
- Reuters

