Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan tidak menjadikan PAS sebagai sasaran politik dalam tindakan mengharamkan penyebaran Syiah.

"Bagi pihak kerajaan ia bukan soal parti, ia satu ajaran yang kerajaan tetapkan bukan dari Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di Malaysia," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur pagi tadi.

Jamil Khir turut ditanya sekiranya kerajaan mempunyai perangkaan jumlah pengikut Syiah mengikut parti politik.

Mengulas perkara itu, menteri itu sekadar menyebut bahawa larangan tersebut dibuat tanpa mengira kecenderungan politik.

"Kita tak kira dari parti politik mana, asalkan mengamalkan Syiah kita tak benarkan.

Tegasnya lagi, ajaran Syiah tidak dianggap sebagai salah satu mazhab dalam Islam dan sama seperti ajaran agama lain yang dibenar untuk diamalkan tetapi tidak untuk disebarkan kepada penganut Islam.

"Orang nak amal Kristian, Hindu tak ada orang kacau, termasuk orang Iran nak amal Syiah.

"Kita di Malaysia kita pegang Ahli Sunnah Wal Jamaah. Lain drpd itu kita tak benarkan dikembangkan. Itu (Syiah) bukan mazhab," katanya.

Beliau ditanya mengenai perkara itu susulan kenyataan PAS semalam yang menjelaskan parti itu bebas dari ajaran Syiah.

Sungguhpun begitu, dakwaan yang mengaitkan anggota PAS dengan fahaman tersebut masih timbul, seperti didakwa seorang aktivis parti dalam laporan Utusan Malaysia .

Aktivis berkenaan, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin dalam laporan akhbar milik Umno itu mendakwa perkara itu menular di kalangan ahli PAS dan gagal ditangani oleh pucuk pimpinan parti.

ADS