Soi Lek: Hanya satu kaum dominasi institut guru
Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek menggesa agar kerajaan menyemak semula modul di institut latihan perguruan bagi mengelak insiden perkauman yang didakwa sering berlaku di sekolah.
Bercakap kepada Malaysiakini , beliau berkata kementerian sepatutnya memperkenalkan mata pelajaran peradaban Malaysia kepada bakal guru.
Katanya beliau kecewa kerana guru dan guru besar di sekolah, yang sepatutnya menjadi contoh, didakwanya menyumbang kepada polarisasi kaum di negara ini.
Katanya, tindakan tegas ke atas individu terlibat tidak memadai untuk membendung masalah itu.
Sebaliknya, usaha perlu dilakukan untuk memahami mengapa guru berkenaan terperangkap dalam isu seperti itu.
Beliau mendakwa, para guru pada masa ini mungkin tidak pernah terdedah kepada integrasi kaum seperti para guru sebelumnya.
Lebih buruk lagi, hanya satu kaum yang mendominasi maktab latihan perguruan, katanya.
Jumlah guru besar dan guru kanan juga tidak ramai, kata Chua.
"Ia seperti pengasingan kaum yang diwajibkan," katanya.

