Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengesahkan akan bertanding jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti, Oktober ini.
Beliau berkata keputusan itu bukan semata-mata untuk mengisi kedudukan tetapi bertekad bagi memastikan Umno terus kekal sebagai pilihan pengundi terutamanya pengundi generasi muda.
Setiausaha BN Sabah itu percaya sudah tiba masanya untuk beliau mengambil langkah besar dan bermakna dalam karier politiknya.
"Pencapaian Umno setakat ini adalah luar biasa dan saya percaya masa depan parti itu mesti berlandaskan idea-idea dan pendekatan baharu," kata Anggota Parlimen Kota Belud itu dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.
Terdahulu itu, ketika bercakap kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Taman Kingfisher, Sulaman, dekat sini, katanya beliau mahu memberikan sumbangan kepada parti dan bukan sekadar memanaskan kerusi terutama dalam senario politik yang berbeza pada ketika ini.
- Bernama
