Orang ramai, persatuan sekerja, badan bukan kerajaan dan kumpulan pelajar digesa menghantar surat desakan kepada Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Tan Sri Musa Hitam bagi menyiasat beberapa pencabulan hak asasi ketika polis menangani perhimpunan '14 Hitam' Sabtu lalu

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dalam kempennya itu menyenaraikan enam bentuk pencabulan, termasuklah kenyataan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohammad yang disifatkan sebagai "pembohongan dan ugutan."

"Sebaliknya, perhimpunan pada April 15 tidak ganas dan tidak mencetus sebarang huru-hara, Dr. Mahathir telah menyalahgunakan kuasa dan alat kerajaan untuk membohong dan menimbulkan suasana tidak tenteram," surat itu dipetik.

Seminggu sebelum perhimpunan itu, Mahathir pernah menuduh penyokong Parti KeADILan Nasional akan membawa "bom molotov cocktail , senjata dan kayu" bagi tujuan menimbulkan "rusuhan."

Suruhanjaya itu juga didesak menyiasat "penahanan secara tidak sah" beberapa pemimpin parti pembangkang itu. Dua pemimpin utama KeADILan, Mohamed Ezam Mohd Nor dan Gopalankrishnan Nagapan, ditahan lebih 72 jam sebelum dihadapkan ke mahkamah magistret untuk direman.

Menurut Suaram, mereka sepatutnya dibawa ke mahkamah dalam tempoh 24 jam.

Pertubuhan itu juga berpendapat tindakan polis dan anggota FRU yang mengadakan pemeriksaan di jalan-jalan keluar-masuk Kuala Lumpur dan pusat perhentian pengangkutan awam sebagai "ugutan polis." Menurutnya, polis sepatutnya bersifat berkecuali.

Orang ramai, kesatuan sekerja, badan bukan kerajaan dan kumpulan pelajar digesa menghantar surat itu secara individu atau kolektif sebelum suruhanjaya itu mengadakan mesyuarat pertamanya Isnin depan. Surat kempen itu dipercayai sedang diedarkan kepada pihak-pihak terbabit melalui e-mel dan faksimili mulai pagi tadi.

Sementara, sebuah kumpulan organisasi bukan kerajaan yang dihubungi malaysiakini menyokong langkah Suaram itu.

"Kami akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan yang lain bagi meminta siasatan yang menyeluruh daripada suruhanjaya," kata Lee Siew Hwa, setiausaha Inisiatif Manifesto Rakyat (PMI).

Lee juga mencadangkan bahawa Pusat Bantuan Guaman, Kuala Lumpur dan Majlis Peguam Malaysia agar melaporkan kepada suruhanjaya itu mengenai dakwaan bahawa rawatan perubatan orang kena tuduh (OKT) dinafikan dan juga sikap polis yang enggan memberikan maklumat kepada ahli keluarga dan peguam tahanan.