'BN bawah Najib ada iltizam politik tangani isu PATI'
RCI SABAH Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak akhirnya mempunyai iltizam politik untuk menangani kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan.
Dalam keterangannya kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang di Sabah hari ini, beliau berkata ini ekoran keengganan kerajaan persekutuan sejak berdekad lalu untuk menangani masalah tersebut.
"Petunjuk dengan kepimpinan yang ada sekarang ialah mereka
mempunyai iltizam politik untuk bertindak apabila RCI membuat cadangan," katanya ketika memberi keterangan itu di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Pairin (kiri), yang merupakan saksi ke-199, berkata hakikat bahawa Najib bersetuju dengan penubuhan RCI untuk meneliti isu pendatang tanpa izin, adalah satu paparan iltizam politik.
Beliau kesal sebelum ini, parti-parti komponen BN di Sabah telah merayu kepada kerajaan persekutuan mengenai perkara itu, terutama apabila hampir pilihan raya umum, tetapi hanya mendapat tidak lebih daripada janji-janji sahaja.
Ini, katanya, termasuk manifesto yang diserahkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pairin, yang merupakan ketua menteri Sabah di bawah Parti Bersatu Sabah (PBS) dari tahun 1985 hingga 1994, berkata beliau berharap dapat melakukan lebih banyak usaha untuk menyelesaikan isu pendatang haram tetapi berkata, kerajaannya ketika itu dilanda masalah ketidakstabilan.
"Pada masa itu, kami berdepan demonstrasi dan pembelotan, ianya adalah antara faktor yang membuat kami tidak dapat menangani masalah itu," katanya.
Pairin meninggalkan parti komponen BN, Berjaya, untuk membentuk PBS sebulan sebelum pilihan raya negeri 1985, dan seterusnya mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata bahawa apabila beliau membangkitkan isu pendatang tanpa izin pada tahun 1978, kepimpinan parti Berjaya ketika itu memintanya supaya tidak bercakap mengenainya.
Kekalahan BN telah mewujudkan suasana ketidakstabilan dan RCI diberitahu mengenai usaha yang telah dibuat untuk mengubah demografi Sabah bagi melemahkan sokongan kepada PBS dari kalangan Kadazandusun dan Cina.
Pairin bersetuju bahawa nama pendatang tanpa izin telah dimasukkan ke dalam daftar pemilih yang akhirnya membawa kepada PBS menang dengan majoriti tipis pada tahun 1994, dan kemudiannya digulingkan akibat pembelotan.
"Kami telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengeluarkan nama-nama yang meragukan dan mereka telah berbuat demikian.
"Tetapi dalam pilihan raya umum berikutnya, kami mendapati nama-nama tersebut ada semula dalam daftar pemilih," katanya.

