Rayuan kes rasuah Anwar diumum Sabtu ini
Mahkamah akan mengumumkan keputusan rayuan perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Sabtu ini.
Anwar dijatuhkan hukuman enam tahun penjara terhadap setiap satu tuduhan pada 14 April tahun lalu.
Beliau dihadapkan dengan empat tuduhan rasuah dalam satu perbicaraan yang paling kontroversi, khususnya selepas pihak pendakwa mengubah tuduhan selepas perbicaraan, yang bermula awal November 1998, berlangsung separuh jalan.
Bagaimanapun, hukuman enam tahun terhadap empat tuduhan itu berjalan serentak.
Pada 9 Mac lalu, hakim Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur menangguhkan keputusan selepas perbicaraan berjalan selama sembilan hari.
Anwar dituduh menyalahgunakan kuasanya bagi mempengaruhi polis untuk menutup penyiasatan dakwaan seks yang dilakukannya.
Bekas pemimpin nombor dua itu sentiasa menafikan semua tuduhan itu dan sebaliknya menyifatkan semuanya dicipta dalam satu konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.

