3 beradik hilang di Ipoh ditemui di Lembah Klang
Tiga beradik yang dilaporkan hilang dari rumah ibu mereka di Ipoh Selasa lepas ditemui selamat di Lembah Klang malam tadi dan telah dituntut bapa mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Khoo Leng Huat berkata Sharafuddin Syazwan, 11; Syahir Syafi, 8; dan Syauratul Syafiyah, 6, diserahkan kepada bapa mereka Rizauddin Md. Zain, 38, kira-kira jam 7.50 pagi ini.
"Bapanya juga sudah membuat laporan polis mengenai penemuan semula anaknya itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Kehilangan tiga beradik itu disedari selepas ibu mereka, Syafarila Azwa Ishak, 36, pulang ke rumah dari tempat kerja dan mendapati anak-anaknya tidak ada di rumah.
"Kami akan menyerahkan kes tersebut kepada rakan sejawat di Ipoh dan mereka akan mengambil keterangan daripada mangsa dan tindakan selanjutnya akan dilakukan selepas itu," kata Khoo.
- Bernama

