Seorang pembantu kepada ADUN DAP hari ini dihalang oleh petugas DUN ketika cuba membuat rakaman siaran langsung persidangan Dewan.

Wartawan menyaksikan kakitangan dari Pejabat Jurutulis meminta Pembantu ADUN Mengkibol itu, Chua Xue Yong mencabut alat rakaman audio visual yang dipasang pada satu set televisyen.

Set televisyen di bilik petugas media tersebut menayangkan siaran langsung persidangan ketika kejadian pada kira-kira jam 10.40 pagi itu.

Empat orang petugas dari Pejabat Jurutilis itu muncul dan memberitahu Chua bahawa tindakan itu tidak dibenarkan.

Chua yang enggan mengalah bagaimanapun cuba berunding, namun terpaksa akur selepas perbincangan selama beberapa minit.

Rakamannya yang dibuat selama kira-kira sejam sebelum itu bagaimanapun tidak dirampas.

"Saya diberitahu yang saya kena ada kebenaran speaker dewan kalau mahu buat rakaman," kata Xue Yong kepada pemberita selepas menanggalkan peranti tersebut.

Menurutnya lagi, rakaman itu dibuatnya untuk simpanan dan rujukan para ADUN DAP.

Sementara itu, majikannya Tan Hong Pin yang tiba tidak lama kemudian turut dihalang apabila cuba mengadakan sidang media di bilik yang dikhaskan untuk petugas media.

Tan kemudiannya beralih ke kawasan luar bilik petugas media dan meneruskan sidang medianya, selepas diarahkan oleh petugas Dewan untuk beredar ke kawasan lobi.

Tan kemudiannya menamatkan sidang medianya selepas beberapa minit apabila tiga orang anggota Askar Timbalan Setia Johor muncul dan mengarahkannya beredar ke kawasan lobi.

Menurut Tan, pihak kerajaan negeri perlu membenarkan rakaman itu dan juga siaran langsung sidang jika mereka tiada apa-apa yang mahu disembunyikan daripada rakyat.

Jelasnya, speaker dewan sewaktu menerima kunjungan hormat Adun Pakatan Rakyat pada 14 Ogos lalu berkata siaran langsung sidang dewan tidak dibenarkan dibuat untuk mengelak sebarang tohmahan berlaku.

"Sekiranya apa yang didakwa oleh mereka itu benar, kenapa tak siarkan (secara langsung) supaya rakyat tahu apa yang berlaku dalam dewan.

"Bukankah ini cara terbaik untuk rakyat tahu kebenaran (tentang) perkara itu.

"Kalau kerajaan BN keberatan untuk siaran secara langsung, jangan halang kami buat siaran langsung ini," katanya yang berminat untuk menyiarkan sidang dewan secara langsung menerusi UbahTV dan laman web Pemuda DAP Johor.