Isa tawar diri tanding naib presiden Umno
Bekas naib presiden Umno Tan Sri Mohd Isa Samad hari ini mengumumkan untuk merebut semula jawatan tersebut dalam pemilihan parti pada Oktober.
Laman milik parti tersebut, Utusan Online menyebut, Isa menawarkan diri untuk bertanding memandangkan pemimpin berpengalaman masih diperlukan dalam Umno.
Beliau dijangka akan menyertai ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang telah mendapat sokongan dari Umno negeri untuk bertanding jawatan berkenaan.
Setakat ini, tiga penyandang jawatan naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal telah menyatakan pendirian untuk mempertahan jawatan berkenaan.
Sementara itu Bernama melaporkan Mohd Isa berharap dengan pengumuman dirinya akan bertanding beliau akan mendapat sokongan daripada semua pihak, terutama anggota Umno, dalam menyumbang kepada pemantapan parti pada masa kini dan akan datang.
"Saya berpandangan apa yang saya miliki, sedikit sebanyak pengalaman dan kebolehan untuk saya bantu pimpinan parti untuk uruskan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.
"Ini amat penting kerana semua kita berhasrat untuk mengukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita selepas pelancaran produk pertama bukan makanan oleh Delima Oil Product Sdn Bhd (Delima Oil), anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) di sini hari ini.
Ketua Umno Bahagian Telok Kemang itu pernah memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi tertinggi mengatasi pada masa itu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).
Bagaimanapun, Lembaga Disiplin Umno menggantung keanggotaannya selama tiga tahun iaitu dari 24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008 setelah mendapati beliau bersalah dalam politik wang pada pertandingan parti itu.
Mohd Isa, apabila ditanya mengenai peluangnya untuk kembali membarisi pimpinan tertinggi parti itu, berkata terserah kepada 150,000 anggota Umno di peringkat akar umbi untuk membuat pertimbangan sama ada beliau layak atau tidak.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata setakat ini beliau masih belum menerima sokongan terbuka daripada mana-mana bahagian, dan belum membuat tinjauan berhubung perkara itu di peringkat akar umbi.
"Setelah saya tawarkan diri, barulah saya akan jumpa dengan pimpinan parti di semua peringkat dan ahli untuk menyatakan hasrat, dan mereka sendiri akan buat pertimbangan sama ada saya sesuai.
"Kalau fikir sesuai jadi naib presiden, sokonglah saya. Kalau tak sesuai tak perlu sokong sebab kita buat ini untuk masa depan parti," katanya.
Mengenai persaingan tiga kerusi naib presiden yang dikatakan agak 'panas' kali ini, Mohd Isa berkata perkara itu tidak menjadi masalah kerana masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri.
"Kita pilih pemimpin bukan macam pilih bakul, tak boleh macam beli buah. Kena pilih betul-betul sebab itu ada pemilihan parti.
"Saya serah kepada 150,000 ahli yang boleh mengundi kerana ini adalah pemilihan dalam Umno. Pemilihan keluarga sebab itu kita tidak boleh mewujudkan suasana tegang yang boleh merugikan parti," katanya.
Mengenai kenyataan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggalakkan muka baharu dan lama bertanding pada pemilihan parti kali ini, Mohd Isa berharap tiada pihak yang akan menghalang orang muda untuk masuk parti.
"Umno ini mempunyai proses yang cukup baik. Kita bermula dari Pemuda Umno sebagai 'training ground'. Yang lama-lama ini pun bermula dari bawah dari Ketua Pemuda Umno. Sebab itu pengalaman perlu.
"Kalau tak benarkan orang muda terutama profesional, itu yang (menyebabkan) mereka lari. Tak semua bermula dari atas. Ada kes tertentu begitu tapi kebanyakan melalui proses sebab itu bila lama kita dalam parti, makin sayang kita kepada parti," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Isa menegaskan Umno masih mengekalkan dasar perjuangan parti dan tidak pernah mengamalkan budaya perkauman seperti yang terkandung dalam perlembagaan parti untuk terus mengekalkan perpaduan masyarakat di negara ini.

