Sembilan belas peserta disenarai pendek oleh Miss Universe Malaysia Organisation (MUMO) untuk saing merebut gelaran Miss Universe Malaysia 2014 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Setia Alam pada Disember ini.

Penasihat dan mentor pertandingan ratu cantik MUMO, Elaine Daily memberitahu pemberita senarai akhir itu diperoleh selepas melalui beberapa peringkat pemilihan membabitkan 3,500 pemohonan yang diterima dari seluruh negara.

Daily berkata 19 finalis itu ialah Chryll Ho, 20; Cynthia Chan, 24; Denise Th'ng, 19; Elaine Wong, 22; Foong Tsin, 25; Hema Gayathiry, 23; Jean Lim, 23; Karina Grewal, 25; Kausalya Ida, 25; Kim Goh, 23; Lalitha Monisha, 21; Livonia Ricky, 22; Lyn Lim, 24; Nicole Aldeth, 22; Patricia Lee, 24; Ramona K, 23; Sabrina Beneett, 23; Shangkaree Nadarajan, 18 dan Vivian C, 23.

Beliau berkata pada masa ini kesemua peserta berkenaan sedang menjalani latihan intensif sekitar 18 hingga 19 jam sehari di Duta Villa, Setia Alam untuk mempersiapkan diri bagi pertandingan ratu cantik itu.

Latihan sebulan yang mereka jalani itu akan didokumen dan difilemkan sebagai program realiti televisyen yang akan ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan.

"Latihan ini amat mencabar kerana ia menguji kekuatan fizikal dan mental memandangkan menjadi ratu cantik bukanlah satu tugas yang mudah pada masa kini," katanya.

Beliau berkata jangkaan terhadap ratu cantik di abad ke-21 adalah berbeza kerana masyarakat mengharapkan seorang ratu yang pintar, bijak dan mereka sentiasa mencari kesilapannya.

- Bernama