Sepuluh hari lagi negara akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-56 dan kemeriahannya mula dirasai dengan beratus-ratus Jalur Gemilang kini dikibar dan menghiasi ibu kota.
Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota termasuk di tengah-tengah kesibukan aktiviti di Jalan Ampang, Jalan Tun HS Lee, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, mendapati jalur gemilang mula dipasang di tiang lampu, pagar dan pintu masuk bangunan-bangunan.
Bahkan semangat kemerdekaan semakin terzahir apabila ada pemilik motosikal dan kenderaan yang mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing.
Seorang juruteknik, Mohd Mustaqim Kamaruddin, 29, berkata hari kemerdekaan kali ini dirasakan lebih meriah kerana ia disambut dalam bulan Syawal, bulan umat Islam menyambut Aidilfitri.
"Rasa seronok pula lepas sambut Raya kemudian sambut Hari Merdeka, sebab itulah saya awal-awal sudah kibar bendera pada motosikal.
"Walaupun sekadar bendera kecil, mudah-mudahan boleh mengingatkan mereka yang lain bahawa Hari Merdeka tidak lama lagi," katanya.
Bagi Zanariyah Osman, 65, beliau suka mengingatkan anak dan cucunya mengenai sejarah hari kemerdekaan untuk memastikan mereka tidak melupakan penat jerih pejuang negara.
"Anak-anak muda ni kalau tak diingatkan mereka akan lupa...sebab itu kalau ada sambutan Hari Merdeka makcik mesti ajak anak dan cucu pergi tengok, biar semangat merdeka itu terus ada dalam diri," katanya.
Bagi jurujual di Gulatis Silk Store Jalan Tuanku Abdul Rahman, Noraseh Hussein pula, para peniaga juga tidak ketinggalan untuk mengadakan promosi jualan sempena hari bersejarah itu.
"Bukan sekadar sambutan perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan sebagainya, namun Hari Merdeka juga biasanya diadakan promosi, katanya.
"Di Gulatis Silk Store juga biasanya setiap tahun akan diadakan promosi yang bermula seminggu sebelum 31 Ogos," katanya.
Seorang pelajar, Diana Zulfazlin Ahmad, 20, berkata beliau berharap sambutan kemerdekaan yang bertemakan "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" ini terus menyuntik semangat generasi muda sepertinya untuk menghargai negara.
"Kalau dihitung 56 tahun bukan tempoh yang singkat, dengan banyak perubahan dinikmati rakyat dan semua golongan termasuk generasi muda.
"Walaupun saya tidak merasai keperitan pejuang negara untuk memerdekakan Malaysia, namun sebagai rakyat yang membesar dalam negara yang aman dan penuh dengan keharmonian, saya rasa perlu kita semua bersyukur dan menghargai Hari Merdeka," katanya.
- Bernama
