Krisis kepimpinan Transparency-International Malaysia (TI-M) memasuki episod baru apabila Josie Fernandez yang mengaku masih setiausaha agung TI-M, menggesa Jawatankuasa Eksekutif TI-M menarik balik surat menggantung dan memecat beliau bertarikh 16 Ogos 2013.

Dakwanya, beliau diiktiraf Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) sebagai setiausaha agung yang sah pada 25 Julai 2013, bertentangan dengan alasan yang diberikan dalam surat pemecatannya.

NONE "Atas sebab ini, saya menggesa jawatankuasa eksekutif TI-M

menarik semula surat penggantungan dan pemecatan saya bertarikh 16 Ogos 2013," katanya.

Dalam surat itu juga, TI-M memberi tempoh dua minggu kepada Josie untuk memberi sebab mengapa keahliannya tidak harus ditamatkan atas alasan yang diberikan.

Dalam kenyataanya, Josie mendakwa ROS dalam satu emel bertarikh 25 Julai 2013 memaklumkan mereka telah menggantikan nama Loi Kheng Meng dan mengesahkan beliau selaku setiausaha agung selepas dipilih pada mesyuarat agung tahunan TI-M pada 28 April 2013.

"Justeru saya menafikan sekeras-kerasnya yang saya telah mengambil langkah untuk merekod diri saya sendiri sebagai setiausaha agung pertubuhan pada 25 Julai 2013," kata Josie dalam kenyataannya.

Dakwanya lagi, ahli-ahli TI-M juga sedang berusaha membatalkan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) TI-M pada 20 Julai.

Sebelum ini, Looi Kheng Meng pada mesyuarat tersebut dilaporkan menyiarkan satu surat dari ROS bertarikh pada hari yang sama yang mengiktiraf beliau sebagai setiausaha agung.

Josie bagaimana pun meragui kesahihan dakwaan itu kerana Kheng Meng didakwa gagal mengedarkan salinan surat itu walaupun diminta berbuat demikian oleh peserta EGM.