Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Doa Cif Inspektor Azilah Hadri untuk menjalani kehidupan di luar penjara setelah menghuninya selama tujuh tahun akhirnya dimakbulkan setelah Mahkamah Rayuan membebas dan melepaskannya daripada hukuman serta sabitan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Azilah, 37, yang ditemui Bernama sebelum hakim membuat keputusan sempat menyatakan bahawa walaupun fizikalnya tidak berubah sejak didakwa atas pertuduhan itu, namun jiwanya terlalu 'kecil' dan amat berharap akan berada di rumah.

Beliau yang diiringi pegawai penjara sepanjang prosiding, kelihatan terkejut apabila keputusan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohd Apandi Ali itu dibacakan.

Koperal Sirul Azhar Umar, yang dituduh bersama-samanya, pula sempat menyatakan "Terima Kasih Yang Arif" sebelum kedua-duanya dibawa keluar dari kandang tertuduh.

Azilah berkata beliau amat bersyukur kerana Allah SWT memperkenankan doanya dan berkata dengan nada suara gementar: "Saya masih lagi berdebar-debar".

"Saya perlu kembali ke Penjara Kajang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertugas menjaga saya di sana...mereka menjaga saya dengan baik, saya ingin menunaikan solat Jumaat dan urusan lain akan dibuat selepas itu," katanya.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabit kesalahan dan menjatuhi hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul Azhar yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi, 20 Okt 2006.

Tunang Azilah, Nor Azila Baharuddin, 35, pula dilihat mengalirkan air mata apabila mendengar keputusan itu.

Beliau menyatakan doanya dan anggota keluarga supaya Azilah dibebaskan telah dimakbulkan Allah SWT.

Katanya sejak mereka bertunang pada 2006, beliau tidak pernah berputus asa dan sering melawat Azilah di penjara seminggu sekali.

"Saya gementar selepas keputusan dibuat, saya seperti tidak percaya. Saya amat gembira kerana inilah saat yang saya tunggu sekian lama. Syawal kali ini amat indah," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS