Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dapat tiket percuma jika daftar pemilih esok
Diterbitkan:  Aug 23, 2013 3:35 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Orang ramai yang mendaftar sebagai pemilih di kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Stadium Sultan Abdul Halim esok berpeluang menerima tiket percuma menyaksikan pertemuan Kedah dan Perak dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam esok.

    

Pengerusi Jawatankyasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Badan-badan Bukan Kerajaan Kedah,  Aminuddin Omar berkata sebanyak 1,000 tiket disediakan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan kerjasama Jaringan Gelombang Merah  Kedah (JGMK) untuk tujuan itu.

    

Kaunter SPR itu dibuka dari jam 11 pagi hingga 5 petang sempena rumah terbuka Aidilfitri Umno Kedah, katanya dalam satu sidang media di Jitra hari ini.

    

Aminuddin yang juga setiausaha KFA, berkata inisiatif itu diambil oleh KFA dan JGMK bagi menggalakkan golongan muda mendaftar sebagai pemilih.

    

"Pada masa yang sama kita juga nak tarik lebih ramai datang ke Stadium Darul Aman untuk memberi sokongan kepada pemain, sekali gus dapat mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu," katanya.

    

Aminuddin berkata pihaknya akan terus mengedarkan tiket-tiket percuma itu kepada seluruh rakyat di negeri ini menerusi pelbagai program jika ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.

    

Sementara itu, dalam pertemuan Kedah menentang Perak di Stadium Darul Aman, esok, Aminuddin berkata KFA akan menurunkan kesebelasan utama yang berjaya mengekang Lions XII di Singapura, Selasa lepas dengan keputusan 2-2.

    

Katanya sebagai pasukan bukan pilihan beliau yakin skuad Sang Kenari itu mampu untuk memperoleh tiga mata berharga di tempat sendiri.

Mengenai jurulatih baharu Kedah Datuk Ahmad Shafie, Aminuddin melihat keserasian antara jurulatih baharu itu dengan penolongnya Antonio Sisic serta pemain pasukan itu amat baik.

- Bernama

ADS