'Sebulan untuk persatuan bola negeri tubuh j'kuasa integriti'
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memberi tempoh sebulan kepada persatuan bola sepak negeri dan kelab untuk menubuhkan jawatankuasa integriti bertujuan memerangi rasuah dalam sukan itu.
Sekiranya gagal berbuat demikian, katanya, beliau akan mengarahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk mengambil tindakan tegas.
"Saya dah minta persatuan bola sepak negeri (dan kelab) untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan sewaktu saya jumpa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini (yang turut) melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Dengan adanya jawatankuasa ini, boleh membantu kita menangani gejala mengatur perlawanan... kerana sekiranya tiada, kita tidak boleh mencegah (rasuah bola sepak)...Malangnya ada persatuan bola sepak negeri yang masih enggan menubuhkan jawatankuasa itu," katanya.
Beliau mengulas dakwaan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, semalam mengenai gejala rasuah yang dikatakan melibatkan pemain dalam kempen Piala Malaysia ketika ini.
Mohamad turut dilaporkan sebagai berkata laporan telah dibuat kepada SPRM bagi menyiasat perkara itu dan menyerahkan kepada badan berkenaan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pemain yang didapati bersalah.
Mengulas lanjut, Khairy berkata ketiadaan jawatankuasa seumpama itu menyebabkan pemain yang dihampiri 'bookie' bola sepak tidak mengetahui saluran sesuai untuk melaporkan gejala tidak sihat itu.
"Kalau ada jawatankuasa ini, ia dapat membantu kita...Saya terima banyak aduan daripada pemain tetapi mereka buat secara 'tanpa nama' iaitu tidak mendedahkan nama kerana mereka (pemain) takut dipukul atau keluarga mereka diancam," katanya kepada pemberita sempena Rumah Terbuka Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Pada masa sama, Khairy berharap polis dapat meningkatkan operasi mereka dalam membanteras 'bookie' bola sepak.
Pada majlis itu, Khairy turut menyerahkan bayaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada beberapa atlet negara termasuk atlet paralimpik yang mencapai kejayaan cemerlang pada kejohanan tempatan dan antarabangsa.
Atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menerima imbuhan tertinggi berjumlah RM80,000 kerana memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Lyon, Perancis dari 19 hingga 28 Julai lepas.
Dua penerjun elit wanita negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee, turut menerima imbuhan berjumlah RM10,000 setiap seorang kerana memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Dunia FINA ke-15 di Barcelona, Sepanyol yang berlangsung pada 19 Julai hingga 4 Ogos lepas.
-Bernama

