Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam melaksanakan hasrat Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, Perlis turut meletakkan sasarannya tersendiri.

Negeri Indera Kayangan itu optimistik menjadi negeri maju pada 2015, dan juga negeri bandar raya pada 2030.

Menteri Besarnya Azlan Man berkata segala hala tuju serta tindakan yang telah, sedang dan bakal diambil, bermatlamat ke arah mencapai wawasan-wawasan tersebut.

"Dalam mencapai usaha-usaha ini, kerajaan negeri akan memperkukuh lagi aspek pentadbiran sedia ada, iaitu dari segi sistem penyampaian itu sendiri. Kita akan memastikan sistem perkhidmatan di negeri Perlis menjadi lebih berkesan," kata Azlan dalam satu temu bual khas dengan Bernama.

Katanya aspek kedua yang perlu dilakukan oleh kerajaannya ialah pembangunan ekonomi negeri Perlis itu sendiri yang sebelum ini mengalami defisit.

"Sebagai sebuah negeri yang kecil dan mempunyai sumber yang terhad, kita akan cuba menarik para pelabur untuk datang melabur di sini. Di Perlis, antara sektor yang masih boleh dibangunkan dan dimajukan ialah sektor perkhidmatan.

"Ia mempunyai kelebihan tersendiri dari segi lokasinya. Padang Besar, iaitu sebuah bandar yang terletak di utara negeri ini, boleh dijadikan sebagai sebuah pelabuhan darat," katanya.

Azlan berkata kerja pembinaan landasan berkembar yang sedang dibina dan dijadualkan siap tidak lama lagi, dapat meningkatkan kemasukan lebih ramai orang dan barangan dari Thailand.

Beliau berkata menerusi pelabuhan darat, yang mungkin mencecah nilai pelaburan lebih daripada RM1 bilion, dapat menggandakan jumlah kendalian unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) sehingga satu juta, berbanding 100,000 sebelum ini.

Katanya projek mega tersebut bakal melibatkan kedua-dua sektor kerajaan dan swasta, dan terdapat banyak kerja-kerja lain yang perlu dilakukan seperti pembinaan serta pembesaran jalan raya bagi menampung kedatangan lebih ramai pengunjung dari negara jiran dan kemungkinan satu pintu masuk yang baharu perlu dibina.

Beliau menjangkakan pembangunan Perlis ke arah menjadi negeri maju pada 2015 akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

"Kita akan cuba menjadikan pembangunan negeri Perlis siap dalam tempoh mandat yang telah diberikan kepada kerajaan negeri, di bawah pimpinan Barisan Nasional," kata Azlan, sambil menambah bahawa semua projek telah menerima pertanyaan daripada pelabur yang berminat.

Terdapat beberapa insentif yang diberikan kepada pelabur, antaranya kemudahan ICT yang canggih seperti perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), bagi memudahkan proses komunikasi antara para pelabur dengan kerajaan setempat.

Selain itu, Menteri Besar turut berunding dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) untuk memberikan pengecualian cukai kepada para pelabur untuk tempoh selama lima tahun.

Perlis, di bawah pelan strategiknya bagi 2012-2030, merancang menarik pelaburan bernilai RM34.5 bilion sehingga tahun 2030, dengan kira-kira 23 peratus daripadanya disumbangkan sektor awam.

-Bernama

ADS