'Jakim perlu konsisten isu konsert'
Pemuda PAS berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu konsisten serta aktif memastikan sebarang konsert yang dianjurkan mengikut syariat Islam, bukan hanya dalam isu persembahan kumpulan metal Amerika Syarikat (AS) Lamb of God.
Menyambut baik bantahan jabatan itu terhadap konsert Lamb of God pada 28 September ini, dewan itu berkata mereka musykil kerana Jakim didakwa jarang bersuara menyatakan bantahan sama sebelum ini.
"Pemuda PAS berpandangan Jakim seharusnya bersifat tegas dengan membantah mana-mana persembahan yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia serta boleh merosakkan akidah umat Islam," kata setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil (
lihat gambar
).
Lamb of God dibantah pelbagai pihak ekoran persembahannya didakwa mencampur adukkan lagu heavy metal dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
Berdasarkan semakan di Youtube, terdapat persembahan menampilkan bacaan sebahagian surah al-Rahman diperdengarkan sebelum konsert, dikatakan rakaman persembahan langsung di Florida, AS pada 2006.
Rakaman lagu berjudul "Laid to Rest" di laman perkongsian video itu dimuat naik pada 17 Februari 2008 dan setakat artikel ini ditulis sudah ditonton lebih 14,000 kali.
Dalam kenyataannya hari ini, Khairul Faizi berkata, mereka berharap Jakim menjadi teladan kepada umat Islam agar bangkit mempertahankan agamanya daripada dirosakkan oleh aktiviti "mungkar" yang berleluasa.
Mengulas persembahan Lamb of God, beliau berkata, kumpulan tersebut menimbulkan kontroversi kerana imej dan penampilan mereka yang menghina Islam.
"Dikhuatiri persembahan kumpulan tersebut akan menimbulkan krisis akidah, permasalahan moral serta keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak muda yang lebih parah," katanya.

