Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata bukan perkara baru bagi PAS untuk menyertai dialog mengenai isu kebangsaan dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Menurutnya, parti itu telah terlibat dengan rundingan kebangsaan sejak zaman bekas perdana menteri Allahyarham Tun Abdul Razak lagi, lapor portal berita Harakahdaily .

"PAS sudah buat lama. Bukan sahaja dengan parti-parti politik malah juga dengan pertubuhan NGO dalam pelbagai isu.

"Kita berdialog dengan kerajaan dalam isu ekonomi, kita juga menyertai dalam Majlis Perunding Ekonomi Negara (Mapem)," katanya seperti dilapor portal itu hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu supaya diadakan dialog dengan kerajaan bagi membincangkan 'isu-isu kebangsaan' yang perlu ditangani.

Laporan itu juga menyebut Abdul Hadi mengakui belum membaca kenyataan Anwar itu kerana jadualnya padat sejak kebelakangan ini dan akan menelitinya dahulu sebelum membuat sebarang ulasan lanjut.

"Saya sibuk dengan jadual yang padat beberapa hari ini, masih belum sempat baca kenyataan itu. Nanti Insya-Allah saya akan baca," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

Untuk rekod, pada 1989, PAS menghantar dua wakilnya - Datuk Mustafa Ali dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman - menyertai Majlis Perunding Ekonomi Negara (Mapem).