Nelayan digesa guna alat penyisih penyu
Jabatan Perikanan kini menggalakkan nelayan-nelayan pukat tunda menggunakan peranti penyisih penyu (Ted) dalam usaha mengatasi masalah haiwan itu dan spesies lain seperti dugong dan ikan lumba-lumba dari terperangkap.
Menyatakan demikian Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata Ted (turtle excluder device) yang direkabentuk oleh penyelidik Jabatan Perikanan bersama nelayan Kemaman dan Syarikat Huntsman telah mendapat pengiktirafan pakar-pakar teknikal perikanan Pentadbiran Samudera dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat.
Kajian penggunaan Ted dijalankan oleh penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Rantau Abang, Jabatan Perikanan Malaysia.
Menurut Ahamad pada 8 hingga 15 Jun lepas beliau telah melakukan lawatan kerja ke makmal NOAA di Panama City, AS.
Katanya tujuan lawatan tersebut adalah untuk menguji kecekapan Ted.
Beliau berkata sebanyak 25 ekor penyu termasuk spesies 'longgerhead' yang berumur 2 hingga 3 tahun telah digunakan untuk menguji kecekapan 'Ted' menyelamatkan penyu yang terperangkap dalam pukat tunda.
Hasil ujian amat menakjubkan iaitu 100 peratus (semua 25 ekor penyu) tersebut berjaya keluar dari pukat tunda yang dipasang dengan "Ted" dalam tempoh kurang dari tiga minit.
- Bernama

