Esscom perketat langkah keselamatan di Ezzzone
Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) memperketat langkah keselamatan dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan tentera dan polis di 10 kawasan di Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone).
Ini dilakukan berikutan pertempuran yang berlaku malam tadi antara pengikut Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan tentera Filipina di Zamboanga City.
Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek berkata walaupun pertempuran itu berlaku jauh daripada Esszone, Esscom tidak memandang ringan mengenainya.
"Kami sudah meletakkan aset dan anggota keselamatan dalam keadaan berjaga-jaga...kami tidak memandang ringan kemungkinan berlaku pencerobohan berikutan pertempuran itu.
"Sebab itulah kami meletakkan pasukan keselamatan kami pada tahap lebih bersiap sedia," katanya kepada Bernama di Lahad Datu hari ini.
Mohammad berkata demikian apabila diminta mengulas pertempuran antara pengikut MNLF dan tentera Filipina pada Ahad malam.
Sebuah portal berita di Mindanao memetik Datuk Bandar Isabelle Climaco-Salazar hari ini sebagai berkata pengikut bersenjata MNLF menjadikan kira-kira 20 orang awam sebagai tebusan di Zamboanga City selepas bertempur dengan tentera kerajaan pada Ahad malam.
Climaco-Salazar berkata anggota MNLF merancang memasuki bandar raya itu untuk mengisytiharkan kemerdekaan di Dewan Bandar Raya.
Sebuah jawatankuasa dibentuk untuk menangani perkara itu, katanya.
Sementara itu, Mohammad menolak dakwaan media Filipina semalam kononnya MNLF menggerakkan kira-kira 4,000 pejuang Tausug yang mendapat latihan di luar negara dan kini berada di Sarawak serta Sabah untuk membantu rancangannya.
"Laporan itu tidak betul dan ianya dihebahkan bagi mengganggu ketenteraman dan keharmonian di negara ini. Risikan pasukan keselamatan mendapati laporan itu tidak benar," katanya.
Sementara itu, penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai dan pulau sekitar kawasan terbabit diminta melaporkan segera kepada pasukan keselamatan jika melihat aktiviti mencurigakan khususnya kehadiran individu tidak dikenali di kawasan mereka, kata Mohammad.
-Bernama

