Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan dalam tempoh dua minggu permohonan bekas menteri pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir bagi pendaftaran partinya, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

NONE Hakim Datuk Zaleha Yusof mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan semakan kehakiman oleh Abdul Kadir dan memerintahkan ROS membayar kepada beliau kos RM3,000.

Dalam penghakimannya, Zaleha memutuskan bahawa ROS terikat oleh Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan 1966 berhubung pendaftaran sesebuah parti dan ROS perlu menimbangkan sama ada melulus atau menolak dalam masa dua minggu oleh kerana permohonan telah tergantung lebih setahun.

"Pendaftar boleh memutuskan permohonan walaupun tidak ada jangka waktu tertentu ditetapkan di bawah akta yang sama berhubung pendaftaran parti dan telah dibuktikan bahawa dua permohonan lalu oleh Malaysian Indian United Party dan Makkal Sakti didaftarkan dalam tempoh dua bulan," kata Zaleha.

NONE Dalam affidavit menyokong permohonan semakan kehakiman, Abdul Kadir mendakwa beliau telah mengemukakan borang pendaftaran parti kepada ROS pada 6 Jun tahun lepas.

Beliau juga mendakwa ROS telah bertindak melangkaui kuasa dan bertentangan dengan prosedur undang-undang kerana gagal memberi respon terhadap permohonannya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Muzila Mohamed Arsad, yang mewakili ROS dalam hujahnya berkata tidak ada tempoh masa ditetapkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 bagi ROS membuat keputusan berhubungan pendaftaran sesebuah parti.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Abdul Kadir berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah sejajar dengan peraturan berhubung pendaftaran parti baru.

-Bernama