Menteri: PM akan umum program tumpu bumiputera
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata perdana menteri dijangka akan mengumumkan satu program baru bagi meningkatkan tahap ekonomi bumiputera.
Abdul Wahid dalam satu laporan Utusan Malaysia menyebut, program tersebut antara lainnya akan menumpukan kepada pemilikan hartanah atau premis perniagaan yang kini masih rendah.
Katanya program inklusif itu adalah hasil makluman orang awam dan juga rundingan dengan satu gabungan wakil kerajaan dan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera.
Tambahnya, ia bagi memastikan kumpulan masyarakat tersebut tidak ketinggalan dari perkembangan ekonomi.
“Tumpuan turut diberi pada penyertaan lebih luas bumiputera di peringkat professional dan penjawatan lebih tinggi dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan sektor swasta yang kini disifatkan masih rendah.
“Inisiatif tersebut akan merangkumi sektor ekonomi, pelaburan, pemilikan ekuiti dan hartanah, penyertaan dalam sektor swasta serta pembangunan modal insan”.
“Inisiatif ini juga mengambil kira kejayaan dasar-dasar ekonomi sebelum ini seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan berpandukan kepada dasar baharu seperti Model Ekonomi Baru (MEB)serta hala tuju negara kearah negara berpendapatan tinggi”, katanya dalam laporan itu.

