Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan kegagalan filem Tanda Putera memikat hati penonton dan sambutan dingin terhadapnya membuktikan rakyat menolak "perkauman sempit yang cuba diserapkan dalam jiwa dan minda" mereka.

NONE Setiausaha Dewan Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata masyarakat kini bijak menilai sesuatu termasuk filem tersebut dan tidak mahu terikat dengan doktrin yang dipaksakan ke atas mereka.

"Rakyat Malaysia cintakan keamanan dan kesejahteraan dan mereka hidup dalam dalam keadaan harmoni dalam pelbagai budaya dan adat.

"Rakyat menolak sentimen perkauman sempit yang cuba diserapkan dalam jiwa dan minda mereka. Rakyat bencikan sejarah yang dipolitikkan demi kepentingan sesetengah pihak," katanya dalam kenyataannya semalam.

Menurut Khairul Faizi lagi, rakyat di negara ini membaca sejarah dan mengetahui susur galur perjuangan generasi terdahulu sehingga kini termasuk motif sesuatu isu yang ingin disampaikan termasuk melalui filem.

"Dan sambutan dinginnya menceritakan segala-galanya. Tanda Putera menjadi cermin bahawa kesemua pihak perlu berlaku adil dalam menceritakan atau menggambarkan sesuatu melalui filem mereka," katanya.