Ketika mengumumkan dasar berprofil tinggi khusus untuk orang Melayu dan masyarakat bumiputera hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kepentingan kaum-kaum lain tidak akan terhakis.

"Jangan  bersalah sangka atau sesekali bersalah faham, tentang pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini.

"Sesungguhnya, inisiatif dan haluan besar ini, kita lakukan bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang lain.

"...kita tidak mempunyai apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain," katanya di akhir ucapan selepas membuat pengumuman tersebut.

Majlis hari ini berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dihadiri hampir keseluruhan barisan pemimpin Umno. Pemilihan kepimpinan Umno tinggal sebulan lagi.

Najib, yang diapit Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diiringi oleh hampir keseluruhan barisan anggota kabinet beliau dan beberapa menteri besar yang memegang jawatan dalam dalam Umno.

Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Melayu dan bumiputera atas sokongan mereka dalam pilihan raya umum lalu sebelum mengumumkan dasar pemerkasaan tersebut.

Bagaimanapun, prihatin bahawa kuota tradisi bumiputera telah menghakis daya saing ekonomi global negara, Najib juga perlu memastikan wujud keseimbangan.

Walaupun meritokrasi dilihat sebagai 'taboo' bagi kumpulan etno- nasionalis, perdana menteri menegaskan kepada lebih 2,000 hadirin yang sebahagian besarnya Melayu bahawa perolehan baru dan peluang keusahawanan mestilah berasaskan merit.

Perdana menteri yang juga presiden Umno, terpaksa berdepan dengan tugas yang sukar untuk mengimbangi antara meliberalisasikan ekonomi dan tentangan dari sayap ultra kumpulan hak Melayu.

Bagaimanapun, menjelang pemilihan parti itu, perdana menteri yang juga presiden Umno, tidak boleh mengabaikan kumpulan nasionalis Melayu yang masih mempunyai pengaruh yang kuat terhadap partinya.

Mereka telah menghentam kerajaan kerana selepas apa yang kerajaan berikan kepada komuniti lain tetapi ia masih gagal untuk mendapatkan sokongan mereka dalam pilihan raya umum pada 5 Mei lalu.

[Baca berita penuh]