EMGS sangkal tuduhan MP DAP, nafi sekat persaingan
Education Malaysia Global Services (EMGS) membantah sekeras-kerasnya tindakan Anggota Parlimen DAP Dr Ong Kian Ming menggesa agar EMGS dibubarkan kerana menuduhnya menyekat persaingan, menaikkan kos dan mematahkan semangat pelajar asing untuk menuntut di Malaysia.
Ketika menyangkal tuduhan itu, ketua pegawai eksekutif EMGS Yazid Hamid meminta Dr Ong meneliti semula undang-undang persaingan sebelum membuat kenyataan mengelirukan dan bersifat sensasi.
Dalam kenyataan hari ini, Yazid berkata pada 2008, Jabatan Pengajian Tinggi mewajibkan semua pelajar asing mempunyai perlindungan insurans daripada syarikat insurans yang diluluskan dan perlu mereka langgan secara terus melalui institusi pendidikan masing-masing.
Katanya institusi ini bebas untuk mengenakan bayaran premium bagi sebarang jenis perlindungan, asalkan kos premium tidak kurang daripada RM300 setahun, meliputi rawatan untuk pesakit luar, pesakit dalam dan kemalangan serta kos penghantaran pulang seseorang pelajar yang meninggal dunia.
Beliau berkata kerajaan bimbang kerana walaupun terdapat kadar perlindungan minimum, mungkin tidak menjamin pelajar akan memperoleh penjagaan perubatan yang diperlukan, tanpa menggunakan perkhidmatan kesihatan awam atau terpaksa menanggung sendiri kosnya.
Katanya kebanyakan institusi pendidikan hanya menawarkan satu syarikat insurans sebagai pilihan - selalunya ditawarkan melalui ejen, manakala bayaran dan perlindungan yang ditawarkan pula berbeza antara institusi, bergantung pada syarikat insurans dan ejennya, manakala had perlindungan tidak dinyatakan secara jelas dan kecukupan sesuatu perlindungan tidak ditapis atau diluluskan oleh badan bebas.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan semakan semula perlu dilakukan terhadap arah tuju polisi bagi memastikan wujudnya perlindungan standard dan mencukupi untuk mengurangkan beban yang terpaksa dipikul pembayar cukai di Malaysia serta untuk menyediakan kepada pelajar terbabit perlindungan penjagaan kesihatan yang mencukupi.
Yazid menegaskan bahawa EMGS tidak pernah dan tidak akan berurusan dengan ejen, sebaliknya hanya dengan syarikat insurans secara terus.
"Mengenai pelantikan AXA - pelantikan hanya satu syarikat insurans tidak bercanggah dengan undang-undang persaingan, malah hanya satu syarikat insurans menyediakan perlindungan profesional kepada Majlis Peguam Malaysia - oleh itu pelantikan ekslusif tidak menyekat persaingan.
"EMGS mempelawa 13 syarikat insurans memberi sebut harga tentang penyediaan insurans dan jawapan rasmi diperoleh secara individu serta melalui cadangan konsortium daripada AXA Affin General Insurance, AIA, Allianz General Insurance, Hong Leong Assurance, Etiqa Insurance, AmAssurance dan Great Eastern Life.
"AXA Affin dipilih kerana ia memenuhi tahap perlindungan yang ditetapkan pada harga terbaik - oleh itu, proses ini, tanpa ragu-ragu, merupakan satu proses yang berdaya saing. Selain premium dengan AXA ditetapkan kadarnya untuk tempoh empat tahun, walaupun kos insurans kesihatan akan terus meningkat setiap tahun - pelajar asing dilindungi daripada kenaikan ini hingga 2017," katanya.
Beliau berkata EMGS belum menerima butiran tentang mana-mana polisi insurans - yang terdapat di pasaran ketika ini - yang sepadan dengan terma perlindungan bagi kurang daripada RM500 yang dikenakan terhadap pelajar asing - walaupun pihaknya mempelawa institusi mengemukakan maklumat mengenainya.
Mengenai tempoh yang diambil untuk memproses pas pelajar, beliau berkata Kementerian Pendidikan dimaklumkan pada September 2012 bahawa permohonan visa pelajar selalunya mengambil masa 8 hingga 12 minggu untuk diproses.
Kata Yazid EMGS berjaya memendekkan tempoh itu kepada purata 16 hari bekerja sejak mula beropersi pada Februari 2013.
Beliau berkata walaupun terdapat pelbagai masalah pada peringkat permulaan, ia dapat diselesaikan dengan cepat dan piagam berhubung pengeluaran pas pelajar dalam tempoh 14 hari bekerja akan dapat dicapai tidak lama lagi.
Yazid menegaskan bahawa EMGS serta pemegang kepentingan kerajaan lain juga sedang mengusahakan beberapa prakarsa untuk memastikan permohonan pelajar asing diproses secara cekap dan telus, termasuk secara bersepadu dengan sistem imigresen, keistimewaan lorong keutamaan dan pengeluaran kad pelajar biometrik.
"Ini dapat dilakukan kerana sebagai sebuah syarikat kerajaan dan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab menerima permohonan pas pelajar, EMGS boleh berhubung dengan Jabatan Imigresen, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan untuk memudahkan penambahbaikan dibuat terhadap proses sedia ada.
"Faktor penting untuk mewujudkan proses permohonan pas pelajar secara kawalan dan pengurusan berpusat adalah kewujudan satu sistem yang cergas, boleh diaudit dan telus bagi memastikan pelajar asing dan institusi pendidikan swasta di Malaysia dapat dipantau dan prestasinya memenuhi tahap yang ditetapkan.
"Keperluan ini menjadi semakin jelas apabila kita mengambil kira bahawa jumlah pelajar asing yang memohon untuk belajar di Malaysia sentiasa meningkat - dan keperluan menilai kesesuaian pelajar terbabit untuk berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata EMGS menggunakan rasional berasaskan kejayaan model yang digunakan di hab pendidikan utama lain di seluruh dunia, termasuk di United Kingdom, Australia dan Amerika.
Satu kaji selidik secara dalam talian tentang bayaran menunjukkan dengan jelas bahawa kebanyakan institusi mengenakan bayaran memproses permohonan pelajar asing jauh lebih tinggi daripada RM1,830 yang dikenakan EMGS.
"Sebuah institusi terkenal mengenakan RM3,420 bagi setiap pelajar baharu antarabangsa untuk peringkat ijazah sebagai Yuran Perkhidmatan Pelajar Antarabangsa, meliputi yuran EMGS sebanyak RM1,830 serta Yuran Pendaftaran tambahan RM4,500, deposit (boleh dipulangkan) RM1,500, Yuran Sumber Universiti tahunan RM1,000, yuran tahunann Tabung Amanah Pelajar RM110 dan yuran kad pintar RM50, kesemuanya tidak termasuk yuran tuisyen.
"Yuran hadapan yang dikenakan institusi ini terhadap pelajar baharu antarabangsa bagi Tahun 1 (termasuk yuran pendahuluan tuisyen RM 8,000) kesemuanya berjumlah RM18,580 - yuran yang dikenakan EMGS hanya berjumlah kurang 10 peratus daripada jumlah itu, termasuk yuran memproses pas pelajar sebanyak RM1,000, bayaran tapisan perubatan RM250, bayaran imigresen RM80 dan
perlindungan insurans tahunan sebanyak RM500.
"Bayaran yang dikenakan EMGS tidak akan mematahkan semangat pelajar asing untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan kerana ia memberi jaminan bahawa mereka akan mendapat tempat di institusi pendidikan tinggi ternama, sah dan diluluskan Kementerian Pendidikan," katanya.
Mengenai pemeriksaan perubatan pula, Yazid berkata sejak Qualitas Health Care Group mengurus proses pemeriksaan perubatan, antara 1 Feb 2013 dan 30 Ogos 2013, 140 pelajar didapati positif Hepatitis B dan C, 93 dikesan menggunakan dadah terlarang, tiga menghidap batuk kering aktif, dua disyaki menghidap kemaglinan dan empat orang positif HIV.
Sekiranya ujian itu tidak diurus secara berpusat dan dilakukan di Malaysia, ketepatan keputusannya tidak mungkin terjamin dan tidak mudah dari segi pentadbiran untuk memantau beribu-ribu klinik persendirian, katanya.
Beliau berkata Qualitas dipilih kerana ia mengamalkan standard tinggi serta membenarkan EMGS mengenakan kawalan serta mempunyai hak untuk mengaudit serta membuat pemeriksaan, manakala bayaran yang dikenakan juga mencerminkan kos bagi mentadbir dan mengurus sistem berkenaan.
Katanya semua klinik boleh menjadi klinik panel EMGS sekiranya mereka boleh membuktikan yang mereka mampu memenuhi syarat yang ditetapkan EMGS, termasuk berkaitan kawalan kualiti dan prosedur operasi standard.
Beliau berkata hasil yang diperoleh EMGS daripada pelajar asing digunakan untuk membiayai perkhidmatan memproses, memajukan, menjalankan dan mengurus Sistem Pengurusan Visa Pelajar Antarabangsa, di samping mengendalikan pusat sehenti dan memasarkan Malaysia sebagai destinasi pendidikan yang tidak lagi memerlukan kosnya ditanggung Perbendaharaan seperti sebelum ini.
"EMGS berazam untuk menjadi sebuah entiti yang membiayai sendiri keperluan kewangannya secara penuh agar ia tidak membebankan kerajaan dan pembayar cukai di Malaysia," katanya.
Yazid juga menegaskan bahawa EMGS percaya Dr Ong tidak memperoleh fakta tepat dan oleh itu beliau memintanya menghubungi EMGS secara terus pada masa akan datang untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan tentang sesuatu isu.
-Bernama

