Kadar minimum saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dicadangkan RM150 dan cadangan itu akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    

Bagaimanapun, katanya kadar maksimum RM300 akan dikenakan sekiranya pesalah membayar lewat dan juga bergantung kepada kesalahan tahap had laju (dirakam AES).

    

"Bagi status saman-saman tertunggak AES, mesyuarat jawatankuasa Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang bersidang hari ini telah bersetuju bahawa isu berkenaan akan turut dibawa ke kabinet untuk tindakan selanjutnya," katanya.

    

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu berkaitan pelaksanaan AES di ibu pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

    

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

    

Dalam mesyuarat berkenaan, anggota tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kecil Perundangan, Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Jawatankuasa Kecil Operasi AES membentangkan hasil laporan berkaitan AES.

    

Hishammuddin berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai operasi dan penguatkuasaan AES kerana pihak peguam negara buat masa ini telah membekukannya sehingga satu tempoh yang akan diumumkan kelak.

- Bernama