Penglibatan warga asing dalam tribunal rakyat bagi menyiasat dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum ke-13 bukan campur tangan dalam hal ehwal dalam negara, kata Pengerusi Bersama BERSIH Ambiga Sreenevasan.

NONE "Ini bukan campur tangan. Mereka pakar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tribunal itu di Subang Jaya, Selangor hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebelum ini mempersoalkan kehadiran warga asing sebagai panelnya.

Bekas timbalan ketua Pemilihan Umum Indonesia Ramlan Surbakti dan pakar perlembagaan Program Pembangunan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Yash Phal Ghai antara anggota dalam panel lima anggota itu.

Yash juga bertindak mengetuai panel.

Ambiga berkata adalah 'sayang sekali' mereka yang kritikal terhadap tribunal tersebut tidak datang dan menilainya sendiri.

"Sayang sekali mereka tidak datang dan mengikutinya. Jika anda datang ke sini, maka anda boleh melihat nilai tribunal ini," katanya.

Ambiga mengakui bahawa tribunal itu tidak ditubuhkan menurut mana-mana undang-undang di negara ini, tetapi berkata, ini bukanlah kali pertama tribunal seumpama itu ditubuhkan.

"Ini bukan kali pertama ia berlaku. Rakyat telah melakukannya di seluruh dunia. Ia adalah forum untuk rakyat datang dan memberikan keterangan," katanya.

Menurut Ambiga, yang positif mengenai tribunal ini adalah rakyat yang tidak puas hati dengan pilihan raya boleh tampil memberi keterangan.

Tribunal selama lima hari itu sedang berlangsung untuk hari kedua di sebuah hotel di Subang Jaya hari ini.

BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya setakat ini menolak jemputan untuk menyertai tribunal tersebut.

[Baca berita penuh]