Beberapa pemimpin Parti KeADILan Nasional dan aktivis reformasi hari ini meminta polis menyiasat kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed menjelang satu perhimpunan yang dinamakan '14 Hitam.'

Sekumpulan lebih 50 orang berada di Balai Polis Jalan Dang Wangi, bersebelahan kompleks membeli-belah Campbell, untuk melaporkan kepada polis kenyataan Dr Mahathir pada Ahad sebelum 15 April lalu yang disifatkan "biadab, tidak bertanggungjawab, menghasut, menfitnah dan berbohong."

Kumpulan itu diketuai oleh Ketua Pemuda Parti KeADILan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor.

"Pembohongan Mahathir itu menyebabkan suasana panik bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga kepada anggota-anggota polis di semua peringkat," katanya dalam sidang akhbar sejurus selepas membuat laporan itu.

Perdana Menteri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa penyokong KeADILan bercadang membawa "kayu, senjata dan bom molotov cocktail" di Masjid Negara pada perhimpunan itu untuk melakukan "rusuhan."

"Atas kehendak Mahathir, saya dan beberapa teman telah dijadikan mangsa, ditahan dan disumbat beberapa hari di dalam lokap," kata Ezam lagi.

Ezam dan enam orang pemimpin KeADILan, termasuk Naib Presiden Tian Chua dan seorang aktivis reformasi Abd Malek Hussin, ditahan di tempat berasingan mulai jam 3 pagi 14 April hingga tengah hari 17 April lalu. Seorang lagi aktivis parti itu yang turut dikehendaki polis, Lokman Noor Adam, masih gagal ditangkap.

Mereka dibebaskan pada Jumaat lalu atas jaminan polis.

Mereka dikehendaki kerana disyaki terlibat merancang perhimpunan itu yang dianjurkan sempena setahun bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman penjara.

Ezam juga mengalu-alukan sikap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang bersedia menyiasat sikap polis terhadap penyokong reformasi yang ditahan dalam perhimpunan '14 Hitam.'

"Ia adalah era baru dalam demokrasi di Malaysia," katanya kepada wartawan.