Tambah polis JSJ tak praktikal, kata menteri
Cadangan agar bilangan anggota di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ditambah adalah tidak praktikal kerana tugas membendung jenayah turut dijalankan oleh anggota tugas am, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya anggota tugas am ialah mereka di Jabatan Pengurusan termasuk ketua polis negeri dan daerah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam serta Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah.
"Jumlah keanggotaan di JSJ sesuatu negeri atau daerah akan ditambah apabila kertas siasatan pegawai penyiasat atau penolong pegawai penyiasat telah meningkat ketara dan membebankan pegawai berkenaan," katanya menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.
Lim ingin tahu mengapa bilangan anggota polis yang terlibat dalam siasatan jenayah tidak ditambah kepada 50 peratus daripada keseluruhan anggota Polis Diraja Malaysia sebagai langkah membendung jenayah.
Ahmad Zahid berkata kerajaan telah meluluskan 4,000 perjawatan baharu anggota polis mulai tahun lepas sehingga 2015 untuk memperkasakan perkhidmatan polis kepada masyarakat.
Menjawab soalan Lim mengenai kekurangan 600 anggota polis di Pulau Pinang, beliau berkata sebanyak 5,619 jawatan pegawai beruniform di negeri itu telah diisi dan kekosongan hanya 31 jawatan.
Beliau juga berkata kebanyakan kegiatan jenayah di Pulau Pinang menunjukkan penurunan, antaranya jenayah kekerasan menurun kepada 66.7 peratus, samun tanpa senjata api (35.7 peratus) dan ragut (56 peratus).
"Akan tetapi jenayah kecurian harta benda seperti bas dan van meningkat 150 peratus, jadi saya harap kerajaan negeri dapat membantu untuk sama-sama membanteras jenayah tersebut," katanya.
- Bernama

