Hishammuddin tak kisah dengan populariti
Naib presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata beliau tidak kisah walau tidak popular di kalangan pengguna Internet dan laman sosial.
Hishammuddin dalam laporan Berita Harian menyebut, sokongan sebenar akan ditunjukkan dari 150,000 perwakilan dan bukannya melalui undian yang dijalankan di blog.
“Saya tidak kisah, dulu pun macam itu. Dulu saya tertinggal jauh, tetapi masih diberi peluang memimpin. Blog pun tak boleh kata dia tahu (apa yang ada) dalam hati perwakilan, tetapi hakikatnya bila berjumpa dia, akan berubah (sokongan).
“Keputusan di laman blog bukan penentu kepada keputusan sebenar pemilihan. Jadi, saya tak kisah mengenai perkara itu,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Beliau mengulas mengenai blog tertentu yang tidak dinamakan, didakwa menyatakan bahawa kedudukan Hishammuddin ketinggalan berbanding calon lain.

