Umno Sabah menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang mereka mahu bagi mengisi jawatan naib presiden dalam pemilihan parti bulan depan.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata Umno Sabah akan menyokong siapa sahaja yang berkemampuan.
"Ada enam calon naib presiden, jadi terpulang kepada perwakilan," kata Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah kepada pemberita selepas meninjau raptai penuh sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Tanjung Aru dekat Kota Kinabalu hari ini.
Yahya yang juga menteri pertanian dan industri asas tani negeri ditanya sama ada Umno Sabah menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, iaitu wakil Sabah yang bertanding mempertahankan jawatan naib presiden parti.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman diuar-uar bertanding jawatan itu namun beliau memutuskan untuk tidak bertanding kerusi naib presiden mahupun mempertahankan jawatannya dalam Majlis Tertinggi, kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan Sabah.
Selain Mohd Shafie, dua lagi penyandang iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mempertahankan jawatan mereka.
Tiga lagi calon ialah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
- Bernama
