Aktivis berhimpun bantah operasi Lynas
Seramai kira-kira 60 orang penyokong NGO alam sekitar berhimpun di hadapan bangunan Parlimen hari ini bagi membantah tindakan kerajaan yang membenarkan loji Lynas beroperasi walau tidak mematuhi syarat lesen operasi sementara.
Kumpulan berkenaan yang diketuai NGO anti-Lynas Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) dan Damn the Dam Action Group itu juga berhimpun bagi mendesak kerajaan Sarawak menghentikan semua projek empangan di negeri itu.
Kumpulan anti-empangan itu mula berhimpun sejak jam 10 pagi, yang kemudiannya disertai oleh kumpulan anti-Lynas yang berarak dari Padang Merbok.
Kumpulan tersebut melaungkan slogan dan membawa plakad yang menuntut agar loji Lynas ditutup dan supaya projek empangan dihentikan di Sarawak.
Sebahagian aktivis berkenaan diketuai MP Kuantan Fuziah Saleh seteruanya memasuki bangunan parlimen untuk menyerahkan satu memorandum kepada Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abu Bakar Mohamad Diah.
Memorandum tersebut antara lainnya menggariskan tuntutan agar kementerian mengarahkan Atomic Energy Licensing Board (AELB) membatalkan segera lesen operasi sementara dan menghentikan serta-merta operasi kilang tersebut.
Suasana dalam bangunan parlimen itu bertukar kecoh beberapa ketika apabila Abu Bakar dalam kenyataannya kepada petugas media selepas menerima memorandum tersebut menyifatkan loji tersebut "selamat seperti kilang kicap".
Abu Bakar seterusnya diasak oleh para aktivis dan beberapa orang MP Pakatan Rakyat yang meminta beliau menjelaskan kenyataan tersebut.
Dalam keadaan hiruk pikuk itu, Abu Bakar disoal bertubi-tubi dari segenap penjuru - menyebabkan beliau meminta individu di sekelilingnya itu supaya mendengar penjelasannya.
Individu berkenaan meminta beliau menjelaskan mengenai kemudahan untuk melupuskan sisa Lynas, yang perlu disediakan oleh syarikat terbabit seperti syarat lesen.
Abu Bakar berkata, perkara itu tidak dapat didedahkan kerana akan menjadi subjudis kepada kes yang sedang berlarutan antara SMSL dan Lynas mengenai TOL berkenaan.

