Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Menteri Dalam Negeri: Apa penahanan tanpa bicara?

Mnteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan kewujudan peruntukan bagi penahanan tanpa bicara di bawah cadangan pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah (PCA).

Beliau berkata, mereka yang ditahan dibenarkan untuk mencabar keputusan lembaga pencegahan jenayah.

Tegasnya, tidak ada perkara seperti penahanan tanpa bicara (di bawah cadangan pindaan) PCA.

Ahmad Zahid berkata keputusan lembaga itu untuk mengarahkan seseorang ditahan di bawah perintah tahanan boleh tertakluk kepada semakan semula oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau menegur pihak tertentu yang telah melihat pindaan PCA secara negatif.

Mengenai MCA dan Gerakan yang menentang penahanan tanpa bicara, Zahid menggesa mereka supaya membaca  pindaan tersebut secara terperinci untuk mengkajinya, dan tidak hanya sekadar memberi komen yang negatif.

"Kami bersedia untuk bertemu dengan mereka (MCA dan Gerakan ) sebelum atau selepas PCA dibentangkan," katanya.

Ahmad Zahid juga menafikan dakwaan Majlis Peguam bahawa badan itu tidak dirujuk berhubung pindaan itu sebelum ia dibentangkan .

"Saya menjemput mereka (Majlis Peguam) ... presiden (Christopher Leong) ke Sunway untuk sesi dialog," katanya sambil bertanya perundingan yang macam mana yang mereka mahukan.

"Adakah ini bermakna saya perlu duduk dengan mereka, membincangkan fasal-fasal secara terperinci atau apa?

"Kita ( kerajaan) telah mengambil usaha untuk mendengar semua pihak," kata Ahmad Zahid.

Seksyen baru diperkenalkan 15A (1) jelas menyatakan bahawa tiada semakan kehakiman dibenarkan terhadap keputusan lembaga itu atau penemuannya dalam menjalankan kuasa budi bicaranya.

Bagaimanapun, semakan kehakiman masih terpakai kepada perkara-perkara berkenaan dengan pematuhan lembaga itu dengan keperluan prosedur.

Seksyen 19A (2) membolehkan Mahkamah Tinggi menyemak keputusan lembaga itu apabila ia mengarahkan sesuatu tahanan dibuat atau melanjutkan tempoh tahanan. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Ahmad Zahid berkata, pindaan yang dilakukan dalam Akta Pencegahan Jenayah (PCA) bagi membanteras dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan turut mendapat maklum balas baik daripada pemimpin pembangkang.

   

Beliau meminta semua pihak melihat pindaan itu secara positif kerana mengutamakan keselamatan serta keamanan rakyat dengan memerangi jenayah yang kini masalah besar kepada rakyat dan negara.

   

"Terima kasih kepada NGO yang memberi pendapat positif, terima kasih juga kepada rakan dalam parti pembangkang yang mula memahami bahawa pindaan PCA ini menjaga keselamatan rakyat keseluruhannya," katanya ketika berucap pada Forum Pencegahan Jenayah bertema 'Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Anda' hari ini.

   

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata masih terdapat segelintir pihak tidak memahami keperluan dan kepentingan pindaan itu serta menganggapnya sebagai menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang dimansuh pada 2011.

"Walaupun beberapa pihak telah menyatakan ketidaksenangan hati mereka terhadap pindaan PCA ini, tetapi saya telah jelaskan bahawa ia bukan satu rang undang-undang yang menggantikan ISA. Ia adalah suatu rang undang-undang yang dipinda bagi mencegah jenayah semata-mata," katanya.

Beliau berkata pindaan itu juga menghadkan kuasa dan penyalahguaan kuasa menteri, sebaliknya memberi kuasa kepada lembaga yang terdiri daripada tiga anggota Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.

   

Terdahulu, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa pindaan PCA juga membolehkan polis melaksanakan tugas membanteras dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan berikutan pemansuhan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad (RRA) 1933.