Dua pemimpin DAP Pulau Pinang hari ini mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan semula anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) dalam kongres khas parti itu esok.

    

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo dan ADUN Seri Delima RSN Rayer berkata mereka mengambil keputusan itu kerana menghormati mandat yang diberi anggota perwakilan dalam pemilihan parti sebelum ini untuk memelihara perpaduan parti.

    

"Saya menghormati mandat yang diberi kepada wakil kami yang dipilih pada pemilihan Disember lepas (2012). Saya ingin jelaskan bahawa berikutan mandat yang diberi itu, DAP, antara parti komponen Pakatan Rakyat, mencatat keputusan paling cemerlang pada pilihan raya umum lepas," kata Jagdeep dalam sidang akhbar bersama Rayer yang beliau panggil untuk mengumumkan pendirian mereka di George Town.

    

Khamis lepas, Ketua Pemuda DAP Pulau Pinang Ng Wei Aik juga mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding pada pemilihan semula anggota CEC.

- Bernama