Kira-kira 50 penduduk dan peniaga berhimpun di parkir Masjid Al-Firdaus Kampung Segambut Luar di ibunegara bagi membantah pembinaan sekolah rendah agama di kawasan itu.

    

Wakil peniaga gerai Masjid Al-Firdaus Ahmad Shah Jalaludin berkata semua peniaga di situ membantah projek itu kerana boleh menjejaskan pendapatan mereka.

    

"Jika pembinaan ini diteruskan, kira-kira 100 penjaja Melayu Islam bakal berdepan masalah kerana ia menjejaskan pendapatan kami dan pendapatan bulanan masjid untuk mengisi tabung dana pembangunan bagi membiayai segala aktiviti masjid.

    

"Pihak masjid menerima bayaran sewa daripada peniaga di kawasan parkir pada setiap Sabtu, dan kami mula berniaga di sini sejak 10 tahun lepas," katanya kepada Bernama hari ini.

    

Wakil Persatuan Penduduk Segambut Azizan Zainal pula berkata penduduk sekitar juga tidak bersetuju dengan pembinaan sekolah berkenaan di kawasan itu kerana akan menyebabkan jemaah sukar mencari tempat untuk meletak kenderaan.    

"Pembinaan sekolah itu juga akan menyebabkan kesesakan lalulintas... selain itu, sudah ada empat sekolah agama di sekitar Segambut," katanya sambil menambah pelajar Melayu Islam di kawasan itu bersekolah di Sekolah Rendah Agama Segambut Dalam, Sekolah Agama Al-Qutubi, Sekolah Agama Mahmudiah Jalan Kucing dan Sekolah Agama Masjid Wilayah, yang jaraknya hanya kira-kira tiga kilometer.

- Bernama