'Pemerkasaan belia dapat ubah luar bandar'
Pemerkasaan rakyat, khususnya belia yang dilihat sebagai ejen pengubah, merupakan kunci utama dalam membawa peluang baharu ke kawasan luar bandar, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.
Bagi tujuan itu, kerajaan Malaysia kini memperkemas program-programnya untuk menumpukan kepada belia luar bandar yang merupakan masa depan kawasan pedalaman Malaysia, katanya.
"Pada masa sekarang, kumpulan ini menjadi kumpulan fokus berbanding sebelum ini kita menyasarkan masyarakat luar bandar secara ama," katanya ketika membentangkan kenyataan Malaysia bertajuk 'Youth in Development: From the Perspective of Rural Malaysia', pada Isnin.
Beliau membentangkan kenyataan itu pada mesyuarat ke-19 'The Centre on Integrated Rural Development for Asia and the Pacific (CIRDAP) Governing Council' di New Delhi.
Nanta berkata walaupun populasi luar bandar Malaysia kini menyusut kepada 27 peratus berbanding 71.6 peratus pada 1970, angka sebenar meningkat daripada 7.4 juta pada 1970 kepada lapan juta sekarang.
Sehubungan itu katanya, belia luar bandar merupakan tumpuan beberapa inisiatif pemerkasaan kerajaan di bawah Program Transformasi Luar Bandar, iaitu usaha menyeluruh dalam mengubah kawasan luar bandar bagi mempercepat pembangunan fizikal dan ekonomi, sambil mengekalkan identiti luar bandar.
Di bawah program itu, bantuan diberi kepada kampung terpilih untuk melaksanakan projek ekonomi yang dirancang oleh penduduk sendiri dengan bimbingan pegawai kementerian di akar umbi.
Katanya program itu digerakkan oleh Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), iaitu pusat perkhidmatan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung dengan tujuan menaikkan taraf hidup penduduk luar bandar.
"Kita perlu lebih kreatif dan bersifat keusahawanan dalam strategi pembangunan kita.
"Dalam memperkasakan belia menerusi program baharu, kita berharap untuk memupuk persekitaran ekonomi yang segar bagi penduduk kampung namun pada masa sama mengekalkan keunikan budaya dan nilai luar bandar Malaysia," katanya.
- Bernama

