PCA benar penahanan tanpa bicara diluluskan
Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi tujuan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah, diluluskan di Dewan Rakyat tengah malam ini.
Usaha wakil rakyat pembangkang untuk menggagalkan kelulusan rang undang-undang itu tidak berjaya apabila ia diluluskan dengan suara majoriti daripada penyokong kerajaan pada 12.50 malam, lapor Bernama .
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim membentangkan usul bagi menghentikan jam di dalam Dewan tepat 12 tengah malam untuk membolehkan perbahasan diteruskan pada hari yang sama, mengikut peraturan mesyuarat 90 (2).
Rang undang-undang itu dibahaskan sejak semalam selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membentangkannya untuk bacaan kali kedua.
Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Ahmad Zahid pada Rabu lepas.
Lewat petang ini, undian dijalankan dengan 115 anggota Parlimen menyokong dan 66 lagi membantah, membolehkan rang undang-undang itu dibincangkan di peringkat jawatankuasa.
Peringkat jawatankuasa proses itu yang dijadualkan malam ini akan menyaksikan Dewan Rakyat meneliti setiap bab dalam cadangan pindaan kepada akta itu.
Enam anggota Parlimen Pakatan Rakyat yang menghantar cadangan perubahan kepada rang tersebut akan berpeluang membahaskan hujah mereka.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pindaan itu akan diperhalusi pada peringkat jawatankuasa.

