TPPA: 'Jangan terperangkap dengan kebimbangan PM'
NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berharap rakyat tidak perangkap dengan kebimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sehingga memerlukan lebih masa untuk dimuktamadkan.
Menyifatkannya sebagai "penangguhan", Pengasas SAMM Badrul Hisham Shaharin menegaskan Najib akhirnya sedar dengan desakan rakyat bahawa perjanjian itu 'menceroboh' hak kedaulatan dalam merangka formula peraturan dan dasar, seperti dilaporkan semalam.
"Syukurlah, walaupun media arus perdana tidak menjalankan peranan yang wajar dalam memberi penerangan khusus tentang bahaya TPPA, namun gerak usaha dari pelbagai pihak telah berjaya membawa rakyat memberikan tekanan supaya Perjanjian TPPA tidak dilaksanakan.
"Dari satu sudut yang lain, apakah Najib sebenarnya cuba bertindak menjadi hero apabila akhirnya menolak TPPA? Sikap 'flip-flop' bermuka-muka ini amat bahaya dan sukar dipercayai. Najib juga dilihat tidak mempunyai ketegasan dalam soal TPPA," katanya Badrul Hisham.
Dalam kenyataannya, Badrul Hisham berkata NGO itu telah menjelajah ke-12 daripada 13 lokasi di seluruh negara untuk memberi kesedaran mengenai kesan perjanjian itu jika ditandatangani.
Bagaimanapun, dakwanya isu perjanjian itu tidak berakhir apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersungguh-sungguh "cuba memutar belit fakta dan menutup kelemahan" dengan mengadakan program 'membalas' siri jelajah penerangan NGO itu.

