Ahli silap mata dan pembaca fikiran terkemuka antarabangsa, Kabir Khan menerima Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama Grand Master 2013, di Kuala Lumpur hari ini.

Anugerah itu bagi mengiktiraf sumbangan Kabir dalam menjenamakan Malaysia di seluruh dunia dan kejayaan memantapkan kerjaya dalam dunia hiburan antarabangsa.

Dianjurkan Asia Pacific Brands Foundation, anugerah itu bertujuan mengiktiraf individu luar biasa dan mereka yang berjaya dalam profesion diceburi.

Penerima lalu anugerah itu, termasuk tokoh seperti bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, bekas juara Formula 1 Michael Schumacher, pengasas Syarikat Apple Steve Jobs dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Baru-baru ini, Kabir, 28 tahun turut menerima dua anugerah dari Malaysia Book of Records kerana menjadi rakyat Malaysia pertama melakukan persembahan di Hollywood dan London.

- Bernama