Laporan audit: Kementerian minta penjelasan IPTA
Kementerian Pendidikan akan memanggil pihak pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berkenaan bagi memberi penjelasan mengenai ketirisan dalam pentadbiran masing-masing seperti yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata kementerian memandang serius perkara itu dan satu mesyuarat diadakan semalam bagi membincangkan perkara itu.
"Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Pendidikan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan kita akan ambil tindakan sewajarnya dengan serta-merta.
"Kita akan menilai dan mencari punca mengapa ia berlaku dan mungkin kita kena ubah cara pemberian kerja, cara penyeliaan dilakukan dan sebagainnya
supaya ia tidak berulang," katanya kepada Bernama selepas merasmikan 'Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mapan (SDNS) Malaysia" di kampus Universiti Teknologi Malaysia di ibunegara hari ini.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan audit yang antara lain, menyentuh kerugian dialami beberapa universiti tempatan ekoran proses pengurusan pembinaan yang kurang memuaskan.
- Bernama

