Respons positif rundingan TPPA lebih fleksibel
Amerika Syarikat (US) memberi respons positif ke atas gesaan Malaysia supaya rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) lebih fleksibel.
Dalam menyuarakan perkara itu, Setiausaha Negara US John Kerry berkata Presiden Barack Obama menghargai Malaysia atas komitmen usaha samanya dengan US.
Beliau bagaimanapun berkata: "Kami mengakui ada halangan di setiap negara dan kami bersedia untuk lebih fleksibel dan kreatif bagi membantu negara yang terlibat memenuhi tempoh masa dan matlamat (TPPA)."
Senator US itu juga berkata TPPA akan membantu meningkatkan hubungan antara Washington dan Kuala Lumpur yang kini sememangnya menikmati hubungan ekonomi yang sangat kukuh.
Hari ini, Amerika Syarikat dan Malaysia mempunyai hubungan ekonomi yang sangat kukuh dengan US merupakan rakan dagang keempat terbesar dunia dan pelabur langsung asing terbesar dalam industri di Malaysia.
"Kami yakin dapat berbuat banyak lagi. Dan TPPA, kami menganggapnya sebagai alat untuk kami merealisasikannya.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan saya mengadakan pertemuan yang sangat produktif bersama pemimpin TPP di Bali awal minggu ini. Dan saya menunggu untuk bekerja dengan rakan kami di Malaysia bagi memuktamadkan perjanjian menjelang akhir tahun ini," katanya.
Najib sebelum ini menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menjadi "Pak Turut" dalam rundingan TPPA bagi melindungi hak kebebasan serta kedaulatan negara.
Perdana Menteri juga menyuarakan pendirian teguh Malaysia untuk melakukan proses dalaman -- iaitu menjelaskan mengenai perjanjian itu kepada Kabinet, kepada rakyat Malaysia serta perbahasan di Parlimen - sebelum membuat keputusan mengenai TPPA.
Najib yang juga Menteri Kewangan menggesa supaya rundingan lebih fleksibel memandangkan ia merupakan kunci kejayaan dalam rundingan itu.
- Bernama

