Pengalaman luas dalam pergerakan Puteri Umno antara faktor yang membawa kemenangan kepada Mas Ermieyati Samsudin untuk dipilih sebagai Ketua Puteri baru bagi penggal 2013-2016.

Mas Ermieyati, 37, menyertai Pergerakan Puteri Umno pada 2001 sebagai anggota Jawatankuasa Penaja Puteri Umno bahagian Alor Gajah (2001-2002) sebelum dipilih menjadi Ketua Pergerakan Puteri Umno cawangan Paya Lebar, Melaka dan anggota jawatankuasa cawangan sama pada 2002.

NONE Beliau kemudian melebarkan sayap sebagai Ketua Pergerakan Puteri Umno bahagian Alor Gajah (2003-2004) serta anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Alor Gajah (2002-2003).

Selain itu, ibu empat anak itu juga merupakan ketua Pergerakan Puteri Umno Negeri Melaka (2003-2013) dan anggota Jawatankuasa Barisan Nasional Perhubungan Negeri Melaka (2003-kini).

    

Beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Biro Belia dan Sukan, Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka dan Ketua Unit Teknologi Maklumat, Badan Perhubungan Negeri Melaka.

Mas Ermieyati juga dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Biro Belia dan Sukan Umno (2004-2008) dan Pengerusi Unit Khas Pilihanraya Puteri Umno Malaysia (2009-2013).

Pada pilihan raya umum ke-13, beliau dipilih sebagai Anggota Parlimen Masjid Tanah dengan majoriti 16,200 undi menewaskan pencabarnya Mohd Nasaie Ismail dari PAS.

Sebelum melibatkan diri dalam politik, graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Sijil Matrikulasi Undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu adalah peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya dan peguam syarie untuk Mahkamah Syarie dalam negeri Melaka.

Antara anugerah yang diterimanya ialah Pingat Jasa Kebaktian (2003), Pingat Bakti Belia (2006), Bintang Cemerlang Melaka (2007), Ahli Majlis Negeri Sembilan (2008) dan Darjah Seri Melaka (2011).

-Bernama