Sebuah lagi tapak web reformasi yang popular, Mahafiraun , menyertai rakan-rakannya membantah Parti KeADILan Nasional. Bantahan yang bermula Rabu lalu digerakkan oleh Laman Reformasi, Komentar , [#1] Pemantau[/#]

dan [#2] Black 14[/#] .

Tapak web yang agak lama tidak aktif itu menutup capaian (access) dengan halaman hitam dan melaungkan slogan kempen "KeADILan adalah parti yang terhasil dari cetusan hati rakyat, pulangkan KeADILan kepada rakyat."

[#3] Mahafiraun[/#]

pernah dikategorikan antara beberapa laman "antikerajaan", bersama [#4] Laman Reformasi[/#] dan [#5] FreeMalaysia[/#] , yang aktif menyebarkan berita dan maklumat menentang pemimpin Umno.

Jawatankuasa Petugas Menangani Fitnah Majlis Tertinggi parti itu mengkategorikan sedemikian selepas memerhatikan 48 tapak web tahun lalu.

Dalam bantahannya, laman yang menggunakan lambang kepala Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, itu menyiarkan kutipan daripada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim: "Mari kita bersama membersihkan negara kita yang tercinta daripada kotoran dan sampah yang ditinggalkan oleh mereka."

"Dan jika kita menyayangi Malaysia maka perjuangan menentang ketidak-adilan, untuk menegakkan keadilan dan kebebasan, mesti diberi nafas baru," kutipan yang dikatakan daripada Anwar itu dipetik.

Empat laman web yang diketuai Laman Reformasi mendesak Timbalan Presiden KeADILan, Dr. Chandra Muzaffar, dan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir, meletakkan jawatan atas alasan "engkar arahan Anwar" dan "mengkhianati perjuangan reformasi."

Dalam surat kepada dua pemimpin itu, pengendali web menyalahkan Anuar berikutan apa yang didakwa perpecahan dalam KeADILan di Pahang, Terengganu, Sarawak, Selangor, Johor dan khususnya di Wilayah Persekutuan.

Mereka menutup capaian ke laman mereka dengan warna hitam dan melaungkan slogan yang sesuai dengan nama masing-masing. Pada Februari lalu, [#6] Komentar[/#]

pernah menyiarkan beberapa kritikan terhadap dua tokoh parti tersebut.

Bagaimanapun, KeADILan tidak mengalu-alukan kritikan atau desakan daripada "pihak luar." Malaysiakini semalam melaporkan Anuar sebagai berkata, "kami tidak menerima arahan daripada mereka yang berada di luar parti."

"Orang luar tidak wajar campur tangan dalam urusan pentadbiran parti," katanya. Bagaimanapun Dr Chandra tidak bersedia memberikan sebarang ulasan.

Sehingga hari ini, semua laman masih lagi "bertafakur" meneruskan bantahan dan penyertaan Mahafiraun dijangkakan menambahkan kesan kempen tersebut menjelang persidangan tahunan KeADILan pada 16 Jun depan.

Laman ini dianggap sama popular seperti Laman Reformasi . Perdana Menteri pernah digelar 'mahafiraun' sempena nama laman web ini. Bagaimanapun, ia menghentikan operasi beberapa bulan selepas pilihan raya umum November lalu.

Beberapa web reformasi yang masih aktif, FreeMalaysia dan [#7] Al-Islah[/#]

, bagaimanapun tidak menyertai protes ini.