Selain tugasan rutin, polis lebih banyak menghabiskan tenaganya mengawasi perkembangan politik semasa, khususnya kebangkitan gerakan reformasi dan kemajuan Barisan Alternatif.

Daripada dua gerakan pembangkang itu, polis lebih berminat memberikan perhatian kepada gerakan, falsafah, rangkaian kerja, sumber dan strategi menggerakkan rakyat ke jalan-jalan raya, khususnya selepas bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim berjaya mengerah rakyat bersamanya di Masjid Negara pada 20 September 1998.

Hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini walaupun tidak disuarakan secara rasmi dan terbuka tetapi disampaikan melalui komunikasi (sepi) fotografi dan reka letak laman webnya.

Seseorang pelayar internet, jika kebetulan melawat laman web PDRM khususnya bahagian SB, akan terkejut melihat dua daripada empat keping foto yang diletakkan di halaman web Jabatan Risikan Keselamatan (Cawangan Khas) itu.

Dua daripada empat foto (atau 50 peratus fokus) bahagian risikan itu nampaknya - secara simbolik - untuk mengawasi keselamatan negara daripada ancaman gerakan reformasi yang dibawa oleh Anwar, termasuklah kempen berterusan anti-ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

Foto-foto ini ringkas, dan barangkali tidak ada makna lebih mendalam atau malah saja-saja direka bentuk tanpa sebarang perancangan, tetapi bahasa semiotik menjelaskan niat tersirat di bawah sedar.

Foto atas kanan menunjukkan sekumpulan penunjuk perasaan memegang sepanduk putih, bertulisan merah, 'hapuskan ISA', 'bebaskan mereka (tahanan ISA September 1998)' dan 'Mahathir step down (undur)'.

Foto ini dirakamkan di Kampung Baru, sama ada lewat Oktober atau awal November tiga tahun lalu ketika Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) melancarkan kempen ISA selepas Anwar dan rakan-rakannya ditahan di bawah akta itu sejak 20 September.

Foto bawah pula menunjukkan lautan manusia ketika perhimpunan terakhir Anwar di masjid itu.

Kenapa dua keping

Kedua-dua foto itu memang jelas ada kaitan dengan reformasi tetapi lebih menarik lagi, secara simbolik paparan foto itu mempunyai falsafah jabatan SB itu sendiri.

Menurut laman rasmi PDRM itu lagi, pasukan itu bertugas "mengumpul risikan keselamatan berkaitan dengan ancaman dari dalam dan luar negara, aktiviti-aktiviti subversif dan kumpulan pelampau atau individu dan juga kegiatan sabotaj atau penyuluhan."

"Seterusnya (jabatan itu) dengan memperolehi, mengolah, menilai dan mengedar maklumat serta memberi nasihat kepada jabatan-jabatan di dalam dan luar pasukan, serta pertubuhan-pertubuhan yang berkenaan," laman itu dipetik.

Tugas rasmi yang disenaraikan itu bukanlah rahsia tetapi dua foto itu menceritakan lebih lanjut apa yang tidak tertulis. Misalnya, kenapa dua foto itu dipilih untuk menghiasi laman web rasmi polis Cawangan Khas? Bukankah polis dan juga media merakamkan beribu-ribu foto?

Minda bawah sedar (subconscious mind) pemilih foto itu benar-benar mencerminkan tanggapan orang ramai terhadap unit khas polis itu, antara tugas utamanya menjalankan pengintipan dan risikan politik (boleh dibaca di laman web tersebut).

Daripada beribu-ribu foto, kenapa dua keping itu signifikan? Jawabnya senang. Pasukan SB menggunakan ISA sebagai alasan mudah untuk menjalankan siasatan terhadap pergerakan politik yang sukar difahaminya, selain tugas 'menginsafkan' tahanan-tahanan tersebut dan sekali gus menimbulkan ketakutan orang ramai.

Sebagai alat kuasa, ISA sangat mustahak untuk meneruskan kekuasaan sesiapa sahaja yang memerintah dan pemerintah itu pula disenangi oleh SB. Sebab itu, pada fikiran saya, foto pertama itu dipilih.

Sekeping foto yang ringkas tetapi sarat dengan makna yang mendalam. Foto pertama, pendukung reformasi menggesa ISA dihapuskan dan tahanan-tahanan di bawahnya dibebaskan tetapi bagi pasukan itu, pendukung gerakan antikerajaan dan kempen anti-ISA itu harus dipantau dalam konteks 'keselamatan negara.'

Begitu juga tulisan 'Mahathir step down ' (Mahathir letak jawatan) menjadi slogan perjuangan politik gerakan reformasi tetapi pada hemat SB - dengan penerbitan foto itu - beliau harus dipertahankan sebagai Perdana Menteri, tanpa mengira dakwaan salah laku dan penyelewengan yang pernah dilaporkan kepada pasukan itu agar disiasat.

Kegagalan komunikasi memalukan!

Jika itu bukan mesejnya, foto itu tidak wajar dipaparkan di laman rasmi pasukan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia. Untuk apa?

Foto itu boleh juga dikekalkan di situ dengan syarat pereka bentuk laman tersebut, pemilih foto itu dan pasukan itu jahil sejahil-jahilnya tentang komunikasi massa. Dan bagi sebuah pasukan istimewa dalam bidang risikan, perang psikologi kepada rakyat negara ini dan alat politik kerajaan, kegagalan berkomunikasi itu sangat memalukan!

Foto kedua pula membawa beberapa makna utama dari sudut politik dan keselamatan. Pertama, kumpulan orang ramai yang besar dalam siri bantahan antikerajaan. Bilangan orang ini dan aktiviti seumpama ini, saya kira, tidak perlu dijelaskan - risikonya sangat besar bukan sahaja kepada Perdana Menteri serta Umno, tetapi seluruh sistem bernegara.

Sebagai sebuah pasukan yang kononnya setia kepada kerajaan, maka SB terpaksa mempertahankan apa sahaja yang dikatakan dan digelar 'kerajaan.'

Kedua, perhimpunan itu ada kaitannya dengan krisis politik Melayu, Umno dan persaingan Anwar-Mahathir. Oleh itu, melumpuhkan gerakan yang dilancarkan Anwar - musuh utama Mahathir - dengan jelas menunjukkan bukan hanya SB itu bersifat politik, malah dilihat memihak.

Analisa ini serius - yakni menuduh polis berpihak, tidak adil atau tidak profesional. Tetapi foto itu tidak dapat ditafsirkan dengan cara-cara lain lagi. Kecuali... boleh dikatakan SB juga sebenarnya menyokong setia reformasi - sebab itu terlalu ghairah menonjol-nonjolkan foto gerakan reformasi, sebagaimana pendukung hardcore reformasi bangga dengan syiar dan foto mereka.

Tetapi jika begitulah tujuan komunikasi foto berkenaan, mesej itu bertentangan pula dengan gelagat polis ketika melumpuhkan perhimpunan-perhimpunan aman.

Bagaimanapun, sebagai pasukan yang harus dilihat adil dan tidak berpihak, polis tidak pula wajar menyerlahkan sokongannya kepada reformasi, bukan? Bagaimana pula nasib rakyat yang tidak menyokong reformasi atau musuh-musuh gerakan politik pembangkang itu?

Pendek kata, pemilihan dua foto ini pada laman web rasmi PDRM mengundang 1001 tafsiran. Bukit Aman tidak boleh memaksa satu versi tafsiran sahaja - sebagaimana ia nampaknya cuba mempertahankan satu versi politik, satu versi parti dan satu versi pemerintahan sahaja - kerana foto itu sendiri (dan wawasan negara ini) masih lagi subjektif.


FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini