Anwar sedih isu KeADILan-web reformasi
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini dipenjara telah dimaklumkan perkembangan terbaru antara Parti KeADILan Nasional dengan lima laman web popular reformasi.
Beliau diberitakan "sedih" dengan perkembangan itu tetapi setakat ini tidak jelas apakah pendirian sebenar beliau. Bagaimanapun, Anwar dipercayai akan menjelaskan sikapnya ketika perbicaraannya berlangsung pada 5 Jun depan.
Seseorang yang rapat dengan Anwar dan KeADILan dipercayai sedang berusaha menyampaikan pesan pengasas gerakan reformasi itu kepada pengendali-pengendali laman tersebut.
Sementara itu, akhbar-akhbar arus perdana mula memainkan isu ini sebagai satu serangan terhadap KeADILan dengan jangkaan akan membawa kesan terhadap pengundi di Telok Kemang.
Calon parti itu, Ruslan Kasim, dijangka bertemu dengan calon Barisan Nasional, S Sothinathan pada hari penamaan calon Selasa depan.
Akhbar Utusan Malaysia melaporkan di muka depan "KeADILan dilanda krisis," manakala The Star menyiarkan kenyataan Timbalan Presiden parti itu, Dr. Chandra Muzaffar, yang "tidak akan tunduk kepada gerakan politik gaya Machiavelli."
Akhbar New Straits Times pula menganalisis itu sebagai sekumpulan "pengendali web yang idealis" harus memahami politik sebenar sebuah parti.
"Pemimpin-pemimpin (KeADILan) ini harus berunding dengan mereka (laman web). Lagipun, merekalah (KeADILan) pada asalnya yang mencipta gergasi (laman web) ini," lapor akhbar berkenaan.
Sementara itu, seorang pengendali laman berkenaan memberitahu malaysiakini melalui emel, kempen ini ditujukan kepada KeADILan sahaja dan tidak melibatkan parti-parti lain dalam Barisan Alternatif.
Katanya, gerakan bantahan web ini dijangkakan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
Mulai Rabu lalu, lima laman web yang diketuai Laman Reformasi mendesak Chandra dan Setiausaha Agung, Mohd Anuar Tahir, meletakkan jawatan atas alasan "engkar arahan Anwar" dan "mengkhianati perjuangan reformasi."
Dalam surat kepada dua pemimpin itu, pengendali web menyalahkan Anuar berikutan apa yang didakwa perpecahan dalam KeADILan di Pahang, Terengganu, Sarawak, Selangor, Johor dan khususnya di Wilayah Persekutuan.
Mereka menutup capaian ke laman mereka dengan warna hitam dan melaungkan slogan menggesa reformasi dan keadilan yang sesuai dengan nama masing-masing.
Bagaimanapun, KeADILan tidak mengalu-alukan kritikan atau desakan daripada "pihak luar." Malaysiakini pernah melaporkan Anuar sebagai berkata, "kami tidak menerima arahan daripada mereka yang berada di luar parti."
"Orang luar tidak wajar campur tangan dalam urusan pentadbiran parti," katanya.
Sehingga hari ini, semua laman masih lagi "bertafakur" meneruskan bantahan dan isu ini dijangkakan mendapat perhatian serius menjelang persidangan tahunan KeADILan pada 16 Jun depan.

