Pensyarah UM perjelas isu isytihar harta PM, Taib
Pensyarah Universiti Malaya (UM) Muhammad Asri Mohd Ali tampil menjelaskan kenyataannya sebelum ini berhubung keperluan perdana menteri dan ketua menteri Sarawak mengisytiharkan harta.
Malaysiakini pada 18 Oktober lalu antaranya melaporkan beliau sebagai berkata, gesaan terhadap Tan Sri Taib Mahmud dan Datuk Seri Najib Razak itu tidak wajar dibuat.
Ini kerana, menurut Muhammad Asri (kanan), kedua-dua pemimpin itu sudah lama berada dalam politik.
Dalam kenyataan terbarunya, beliau bagaimanapun berkata tidak pernah menyebut kata-kata seperti yang tertera dalam tajuk berita Malaysiakini itu.
Berikut kenyataan penuh beliau:
Saya amat kesal membaca laporan yang dimuatkan dalam Malaysiakini bertarikh18 Oktober 2013 yang bertajuk "Academic: Najib and Taib don't need to declare asset" yang kononnya memetik kata-kata saya semasa forum pelajar di Universiti Malaya malam 17 Oktober 2013.
Berikutan penyiaran berita itu, banyak komen negatif dikemukakan oleh pembaca Malaysiakini terhadap saya, golongan akademik dan Universiti Malaya amnya secara membuta tuli atau tahu hujung pangkalnya.
Berikut adalah penjelasan saya berhubung dengan isu ini:
Pertama, saya tidak pernah menyebut kata-kata seperti yang tertera dalam tajuk berita Malaysiakini seperti di atas.
Kedua, pada forum tersebut saya menjawab soalan yang dilontarkan oleh salah seorang audiens tentang kenapa di negara kita pemimpin tidak mengisytiharkan harta.
Jawapan saya ialah, undang-undang yang ada di negara ini mewajibkan semua penjawat awam termasuk menteri-menteri kabinet mengisytiharkan harta.
Hal ini telah menjadi amalan semenjak kita merdeka lagi. Tetapi perkara itu dibuat secara dalaman, bukan kepada awam.
Undang-undang berhubung perkara ini adalah jelas tanpa mengira sama ada seseorang itu baru atau telah lama menyertai kerajaan.
Ketiga, isu yang timbul di sini ialah "isytihar harta kepada awam". Saya menyebut bahawa kita tidak boleh meniru apa yang dilakukan oleh negara Barat secara bulat-bulat dalam hal ini tanpa mengetahui 'local realitiy' politik di negara mereka dan meletakkan kesalahan terhadap pemimpin.
Di negara demokrasi Barat, budaya menukar kerajaan setiap lima atau 10 tahun sekali telah menjadi perkara biasa. Tetapi di negara kita, budaya tersebut tidak berlaku.
Kalau kita mahu melihat pemimpin mengisytiharkan harta kepada awam menjadi realiti, rakyat harus membudayakan menukar kerajaan setiap lima atau 10 tahun sekali.
Jika kondisi ini tidak ada, menteri kabinet tidak akan mengisytiharkan harta mereka kepada awam kerana sekiranya mereka berterusan menang dalam pilihan raya umum.
(a) Mereka fikir tidak ada keperluan kepada mereka berbuat demikian.
(b) Mereka fikir 'tidak adil' sebab ada menteri baru masuk dan ada menteri telah lama dalam politik (di sini saya beri contoh Najib Tun Razak dan Taib Mahmud).
Catitan: Maksud saya ialah model yang ada di negara Barat itu dilihat daripada satu sudut, iaitu pemimpin mengisytiharkan kepada awam.
Kita lupa sebut bahawa pengundi di Barat ada sikap ubah kerajaan, tetapi kita belum ada (kecuali pada peringkat negeri tertentu). Sekiranya budaya mengundi kita mengalami perubahan, proses mengisytiharkan harta kepada awam akan berlaku.
Keempat, Malaysiakini hanya melaporkan kenyataan saya hanya dalam butiran ketiga di atas, itu pun hanya butiran (b).
'Local realitiy' seperti dipetik dalam laporan Malaysiakini tidak diulas lebih lanjut, dan wartawan Malaysiakini tidak datang bertanya mendapat penjelasan daripada saya.
'Local reality' yang saya maksudkan itu ialah budaya pengundian masyarakat kita.
Kelima, apa yang menyedihkan saya ialah butiran kedua saya di atas langsung tidak dinyatakan. Apabila Malaysiakini hanya melaporkan butiran ketiga (b) sahaja.
Berita tersebut menggambarkan saya membela pemimpin yang lama berada dalam politik secara membelakangi undang-undang yang terdapat dan diamalkan di negara kita selama.
Lebih dari itu, ianya juga menampakkan saya seorang yang amat jahil tentang aspek ketelusan dan 'good governance'.
Terdapat banyak saksi yang hadir pada malam tersebut. Salah seroang daripadanya ialah Tan Sri Amrin Buang dan Dr Lee Hock Guan (pensyarah di fakulti ekonomi dan pentadbiran, UM).
Pihak saudara boleh minta pengesahan daripada mereka mengenai kesahihan kenyataan saya ini.
Sehubungan dengan itu, saya minta pihak Malaysiakini memohon maaf secara terbuka kepada saya dan mengakui bahawa berlaku kesilapan dalam laporan sebelum ini.
Buktikan bahawa Malaysiakini tidak mengamalkan 'populist strategy' (hanya mensensasikan berita separuh benar semata-mata untuk popular) dan membudayakan 'character assissination' dengan mempamerkan cemuhan pengunjung blog hanya berdasarkan laporan yang tidak tepat.
Segala kerjasama dan jasa baik saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.
Nota editor: Setelah menyemak semula rakaman video perbincangan tersebut, Malaysiakini tidak bercadang mengadakan sebarang perubahan pada berita asal. Malaysiakini melaporkan ucapan tersebut secara jujur seperti boleh dirujuk dalam rakaman video mengenainya dan laporan itu dibuat tanpa sebarang niat buruk atau apa-apa tujuan negatif kepada sumber, penganjur atau institusi terbabit.

