Pensyarah: GLC perlu bantu akhbar BM
Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia menggesa kerajaan melaksanakan Dasar Pengiklanan Negara, seiring dengan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera, untuk memastikan syarikat berkaitan kerajaan mengutamakan iklan dalam akhbar berbahasa Melayu.
Pensyarah di pusat pengajian komunikasi kampus itu, Profesor Madya Mohamad Md Yusoff dalam satu laporan Utusan Malaysia berkata ia bagi “mengimbangi pulangan perniagaan kaum itu yang kini perlu bersaing hebat”.
“Negara memerlukan satu dasar bagi memulihkan masa depan industri ini yang bukan sahaja membe nasib akhbar berbahasa Melayu malah mencakupi modan insan, pemain industri dan guna tenaga supaya matlamat negara maju dapat dicapai lebih cepat sebelum 2020.
“Industri ini akan menjadi tempang, modal insan semakin teruk kerana perlu bersaing dengan syarikat gergasi apabila GLC sendiri tidak membantu syarikat bumiputera.
“Kita menjadi runsing apabila media cetak berbahasa Melayu semakin lama semakin dipinggirkan industri lain sekiranya dasar seumpama ini tidak dilaksanakan,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Tambahnya, saranan agar GLC memberi keutamaan kepada media cetak berbahasa Melayu juga diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC pada 3 Mei 2012, namun, ia masih belum menunjukkan sebarang tindakan.
Beliau turut berpendirian bahawa Malaysia perlu mencontohi negara seperti Filipina dan Thailand yang turut mengamalkan dasar seperti itu.
Katanya lagi, rangka kerja dasar tersebut telahpun diserahkan kepada kerajaan sejak 1981, namun masih belum dilaksanakan.
Tambahnya, Ia turut memuatkan hasil kajian firma AmResearch yang menyebut, perbelanjaan iklan bagi akhbar vernakular itu merosot 1.8 peratus sehingga September lalu.
Pembelanjaan iklan bagi industri berkenaan bagaimanapun merekodkan pertumbuhan 3.7 peratus.
Begitu juga perbelanjaan iklan bagi akhbar berbahasa Cina dan Inggeris, yang masing-masing mencatat pertumbuhan 6 hingga 7 peratus sejak awal tahun ini.

