Pejabat 'Haraki' diserbu KDN
Pejabat jualan milik penulis dan penerbit, Ahmad Lutfi Othman, diserbu Kementerian Dalam Negeri tengah hari tadi. Seramai enam orang pegawai merampas beratus-ratus naskhah sebuah akhbar yang baru diterbitkan, Haraki , atas alasan dikeluarkan tanpa permit.
Rampasan terbesar dalam tahun ini mendapat waran dari Majistret Mahkamah Kuala Lumpur, Norhayati Abd Jabar. Dalam waran itu, KDN memohon untuk menggeledah "salinan-salian langganan, perekaan (reka bentuk), artikel, kenderaan, buku, dokumen, lain-lain bukti yang berkaitan dengan kesalahan tersebut."
Waran geledah itu dikeluarkan atas kesalahan Seksyen 5 (1) A Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 atau kesalahan menerbitkan, memiliki dan mengedarkan bahan-bahan tanpa permit.
Sebanyak 545 naskah Haraki dirampas di bahagian pameran tingkat bawah Penerbitan Pemuda di Jalan Gombak.
Terbitan berbentuk tabloid itu diusahakan oleh Lutfi selepas peristiwa perhimpunan politik 'Black 14' pada 15 April lalu.
Tabloid setebal 28 muka surat itu memuatkan berita, analisa dan pandangan politik beberapa tokoh pembangkang seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan perdebatan Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi di sidang Dewan Rakyat mengenai larangan parti-parti politik mengadakan ceramah umum.
Ia juga memuatkan wawancara-wawancara bersama Dr Haron Din, Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar serta bekas Ketua Pemuda Umno Ahmad Zahid Hamidi dan juga tulisan-tulisan Subky Latif, Hishamuddin Rais, Dinsman dan Nurul Izzah Anwar.
Di halaman depan, Haraki menyiarkan foto perhimpunan 'Black 14' dengan tajuk "Black 14 Capai Target" dan bahagian tengah, akhbar itu menyiarkan foto-foto peristiwa pada hari Sabtu itu. Bekas pengarang majalah Detik yang kini diharamkan itu berkata KDN tidak wajar berbuat demikian.
"Setakat yang kami maklum, bahan terbitan yang tidak berkala seperti ini tidak memerlukan permit," kata Lutfi kepada malaysiakini .
Beliau memohon kementerian menggunakan budi bicara dan perbincangan dan bukannya "bertindak secara terburu-buru."
Tegasnya, rampasan selama 20 minit tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus menulis dan menerbit tetapi tindakan itu mempunyai "kesan besar" kepada syarikat percetakan.
"Mereka akan takut (bahan yang mempunyai masalah dengan KDN)," jelas Lutfi apabila ditanya maksud "kesan besar" itu.
"Sepatutnya KDN berurusan dengan kami (sebagai penerbit) dahulu, bukannya menggeledah pencetak," kata Lutfi lagi.
Kumpulan pegawai KDN yang diketuai Pegawai Kanan Unit Penguatkuasa KDN, Hilmie Mzalan, itu semalam menggeledah sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur yang dipimpin Suria Janib (foto) dan sebuah syarikat di Shah Alam yang mencetak Haraki . Bagaimanapun tidak ada rampasan dilakukan di kilang percetakan berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.